Seorang doktor gigi wanita dan tiga pembantunya melalui detik lima minit paling mencemaskan dalam hidup mereka apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah klinik di Bandar Seri Putra, Bangi di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 12.48 tengah hari itu berlaku apabila pekerja klinik tersebut membenarkan penyamun berkenaan masuk selepas suspek menyamar sebagai penghantar barang.
Lebih mencemaskan, ketika rompakan berlaku, tiga pesakit dan dua kanak-kanak yang berada di ruang menunggu turut trauma dengan kejadian tersebut.
Doktor yang hanya dikenali sebagai Kim Atikah berkongsi pengalaman menakutkan itu melalui akaun TikToknya yang tular sejak Selasa.
“Kes rompak di tempat kerja kami hari ini di Klinik Dental Republik Bandar Seri Putra. Video in order of how the robbery happened today.
“Dua lelaki Melayu, bersenjata parang. Kejadian berlaku pada 7 November 2022, sekitar pukul 12.43 hingga 12.53 tengah hari Isnin. Jika orang awam ada sebarang maklumat, boleh laporkan ke Balai Polis Bangi atau balai polis berdekatan.
“Kami bersyukur, semua selamat. Itu yang paling utama. Video ini bertujuan untuk bagi kesedaran yang perkara tak diduga nak jadi dan boleh jadi di mana-mana. Apa pun, stay safe and take care everyone. Moga ALLAH lindungi kita semua,” tulisnya.
Pada masa sama, penyamun terbabit juga dilihat cuba mencederakan salah seorang mangsa yang berada di klinik berkenaan sebelum beredar dari tempat kejadian.
Difahamkan, wanita itu bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan barangan peribadinya.
Video berdurasi dua minit itu mendapat lebih daripada 10,000 tontonan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengatakan, lelaki yang bersenjatakan parang itu dipercayai warga tempatan.
“Dalam kejadian itu, suspek melarikan sebuah komputer riba jenis Macbook, dua telefon bimbit, wang tunai sekitar RM2,000 dan seutas rantai emas.
“Kesemua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sumber: Majoriti