5 Marsyal Iring Konvoi Parti Politik Dicari Polis. | Seremban: Polis sedang mengesan lima individu yang bertindak sebagai marsyal dengan menahan kenderaan lain bagi memberi laluan kepada lapan kenderaan sebuah parti di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata, rakaman video yang tular itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal membawa bendera parti politik sama dan menghalang laluan di lokasi berkenaan dikesan pada 6.47 petang.

“Tindakan mereka sebagai marsyal dengan menahan dan mengawal kenderaan yang melalui lampu isyarat itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

“Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 jika seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, hukuman jika seseorang yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 33 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang menghalang dan mengganggu kelancaran lalu lintas serta pengguna jalan raya lain yang melalui jalan terbabit.

“Ia bagi memberikan laluan kepada lapan kenderaan yang dipercayai daripada parti politik sama.

“Kejadian itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Ahmad Dzaffir turut menasihati semua parti politik supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Umum kle-15 (PRU-15).

“Mereka perlu sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang sedia ada,” katanya.

Sumber : HM

 

 

BERITA TERDAHULU

Marsyal akan ditangkap jika tanpa pembabitan polis

Segamat: Pengiring atau marsyal konvoi bermotosikal yang mengawal lalu lintas tanpa pembabitan polis akan ditangkap, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada marsyal konvoi bermotosikal yang bertindak memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat.

Katanya, penggunaan marsyal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dengan kehadiran anggota polis.

“Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marsyal ini sekiranya mereka melakukan tugas trafik seperti meminta memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan dan melencongkan kenderaan.

“Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanya memperuntukkan kuasa kepada pegawai polis, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan warden trafik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal lalu lintas di jalan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Bertemu Pelanggan di Taman Yayasan, di sini, hari ini.

Menurutnya, individu atau kumpulan yang membuat tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota polis akan terus ditahan.

“Polis akan memantau rakaman video, imej, laluan jalan raya, risikan dan maklumat awam di laman sosial yang menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Terdahulu, Ayob meluangkan masa menyampaikan sumbangan baucar pembelian barangan kepada 20 pesara serta balu polis, selain melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di kaunter sementara yang disediakan di pekarangan sebuah pasar raya di sini.

SUmber : HM

Share.

Leave A Reply