Rawang: Seramai 78 remaja diberkas polis selepas dikesan menyertai aktiviti perlumbaan haram di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, malam tadi.
Kegiatan haram yang dilakukan hampir setiap malam sejak 1 Ramadan lalu menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk apabila remaja terbabit berlumba beramai ramai sehingga jam 1 pagi.
Rata-rata ditahan polis membabitkan remaja sekolah berusia seawal 13 tahun yang dikesan menggunakan motosikal milik keluarga untuk berlumba haram di Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan di Bandar Tasik Puteri di sini.
Jurucakap polis berkata, kebanyakan remaja ini akan berkumpul ‘memanas enjin’ di pinggir jalan sebelum memulakan perlumbaan berkumpulan antara lima hingga 10 motosikal secara bergilir-gilir.
Susulan itu satu operasi besar-besaran dilakukan pihak polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) daerah Gombak bermula jam 9 malam tadi.
“Operasi diketuai Inspektor Shahidan Ab Wahab, Inspektor Zharif Zakaria dan Inspektor Suharman Che Musa selain 32 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Balai Polis Rawang serta Balai Polis Kundang.
“Hasil penyamaran dilakukan, pihak polis berjaya menahan 56 motosikal selain 78 penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya.
Bagaimanapun terdapat penunggang motosikal terbabit bertindak lari meninggalkan lima motosikal di dalam belukar berhampiran lokasi `garis permulaan’ perlumbaan.
“Ada juga peserta lumba haram ini hampir melanggar anggota polis ketika cuba memecut melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, rata-rata `mat rempit’ muda terbabit didapati melakukan kesalahan berlumba haram, menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.
“Malah motosikal digunakan turut diubah suai dengan menggunakan tayar nipis atau `tayar sotong’ serta dipasang ekzos bising untuk tujuan berlumba.
“Malah ada motosikal turut tidak memiliki cukai jalan serta tidak dipasang nombor plat hadapan dan belakang. Polis tidak memberi muka apabila semua motosikal yang ditahan kemudian diangkut menggunakan trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
“Sebanyak 102 kompaun dikeluarkan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal. Selain itu 40 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis akan memanggil pemilik motosikal berkenaan untuk disiasat dan dikenakan saman,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Mati Ketika ‘Merempit’ Seperti Bunuh Diri. Ini Penjelasan Dari UAI
Seseorang yang meninggal dunia kerana berlumba motosikal di kawasan yang memudaratkan diri hukumnya seperti membunuh diri.
Menjelaskan perkara itu, penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, kebanyakan yang berlumba adalah sekadar untuk suka-suka dan hanya untuk keseronokan semata-mata.
Katanya, budak-budak sekarang berlumba, buang brek, tak pasang lampu malam, meniarap atas motosikal.
Katanya lagi, itu semua haram dan seperti bunuh diri, terus masuk neraka.
Azhar berkata, berbeza pula dengan mereka yang berlumba di tempat lapang lengkap dengan pakaian keselamatan serta tiada sebarang halangan seperti kenderaan awam hukumnya adalah makruh.
Tambah beliau, setiap permainan yang bukan sunnah adalah makruh.
Namun jelasnya lagi, kebanyakan permainan ketika ini adalah haram kerana tidak mendatangkan faedah kepada seseorang itu contohnya seperti terjun bungee.
“Apabila terjun bungee ini apa yang kita dapat? Dapat seronok sahaja kan?
“Kalau seronok sahaja maka hukumnya haram kerana ia membahayakan.
“Berbeza dengan seperti kita belajar silat atau taekwando, bila kita kena lembing dan mati itu bukan bunuh diri sebab kita dapat ilmu untuk mempertahankan diri,”katanya.
Sumber: Kosmo