Tuan Kereta Halang Bomba Alih Dahan Dari Kereta, Ini Puncanya | Gara-gara mahu membuat tuntutan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), seorang mangsa pokok tumbang meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tidak mengalihkan dahan yang menghempap kenderaan miliknya di Kota Kemuning, Shah Alam, semalam.
Lapor Sinar Harian, Pengarah JPBM Selangor, Morni Mamat berkata kenderaan itu dihempap pokok dalam satu kejadian di Jalan Anggerik Mokara pada 8.15 malam.
Susulan itu, kereta tersebut mengalami kerosakan dan memerlukan bantuan pihak bomba untuk mengalihkan dahan namun tindakan itu dihalang oleh mangsa.
“Pihak bomba cuba untuk membantu mangsa mengalihkan dahan pokok yang menghempap kenderaan miliknya.
“Namun begitu, usaha itu dihalang oleh pemilik kenderaan dengan alasan menunggu pihak MBSA hadir ke lokasi.
“Tindakan mangsa tersebut dipercayai bertujuan membuat tuntutan kepada pihak MBSA,” katanya pada Selasa.
Dengan menurut perintah, Morni berkata pihaknya hanya mengalihkan dahan yang berada di sekitar kawasan tempat letak kenderaan itu sahaja.
Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden pokok tumbang itu.
Tambahnya, untuk tindakan lanjut kes itu diserahkan kepada Skuad Pantas MBSA.
“Kes diserahkan kepada Skuad Pantas MBSA untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sumber: Siakap Keli
Baca Juga: Dua Individu Cedera Selepas Kereta Dihempap Pokok Tumbang
Dua individu termasuk seorang wanita cedera manakala tiga kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur ekoran hujan lebat dan angin kencang petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, dua panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 5 petang membabitkan dua kawasan iaitu berhampiran Masjid Negara dan Taman Pagar Ruyung, Kuala Lumpur.
Ujarnya, seramai 15 anggota, bersama dua jentera dan sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di kawasan berhampiran Masjid Negara kira-kira pukul 5.13 petang, terdapat sebuah kereta yang melalui jalan tersebut telah dihempap pokok.
“Seorang mangsa wanita di dalam kereta jenis Proton Exora didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan mengalami cedera ringan.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan wanita tersebut dan mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur oleh pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Sementara itu, kejadian sama turut berlaku di Taman Pagar Ruyung, Kuala Lumpur apabila dua buah kenderaan iaitu Perodua Aruz dan Toyota Vios telah dihempap pokok.
Dalam kejadian terbabit katanya, empat mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berada di dalam kereta Perodua Aruz manakala tiada mangsa ditemui dalam kereta Toyota Vios.
“Mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan dan sesak nafas kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Sumber : KMN