KULIM – Kejadian ribut di tapak Festival Mega Aidilfitri di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini kelmarin merupakan detik hitam seorang peniaga wanita apabila dia dihempap besi khemah yang runtuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, keseluruhan 26 khemah niaga barangan basah seperti makanan dan minuman diterbangkan angin kencang dan menimpa kanopi bersaiz besar berbentuk separuh bulan.
Kanopi tersebut menempatkan hampir 50 lot niaga barangan kering seperti pakaian dan kelengkapan raya.
Kira-kira enam lagi khemah niaga barangan kering yang terletak berdekatan juga terjejas.
Menurut mangsa, Evi Yani Mohd. Sapri, 25, kejadian berlaku ketika dia bersama seorang rakan, Ahmad Daud, 27, sedang menyiapkan air balang serta makanan sebelum secara tiba-tiba angin bertiup dan menerbangkan banyak khemah di hadapan gerai kami.
“Saya dan rakan terus berlari untuk selamatkan diri, namun saya tidak sempat keluar dari kanopi apabila dihempap besi pada bahu,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, lot niaganya runtuh akibat dihempap khemah lain yang diterbangkan ribut.
“Saya terperangkap di dalam khemah dan sakit pada bahagian belakang sebelum Ahmad berlari masuk semula ke dalam lalu mengangkat besi yang terjatuh pada bahu untuk menyelamatkan saya,” ujarnya.
Peniaga baju Melayu, Nor Maizatul Aishah Kamarul Ariffin, 21, berkata, ketika kejadian dia dan suami Hamad Roni, 26, terkejut melihat khemah lain diterbangkan angin dan peniaga serta pekerja semunaya berlari menyelamatkan diri.
“Separuh khemah niaga kami juga runtuh dan sebahagian pakaian basah terkena air hujan. Baju yang masih elok kami akan basuh serta jual semula,” ujarnya yang menganggarkan kerugian sebanyak RM10,000.
Sementara itu, peniaga pakaian dan jeruk, Suhaimi Mohamad Junid, 36, berkata, dia dan isterinya, Hazwani Abdul Hakim, 35, baharu pertama kali menjalankan perniagaan di bazar itu.
“Ketika kejadian kami tiada di sana kerana kami beroperasi bermula kira-kira pukul 5 petang sehingga tengah malam.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui kumpulan WhatsApp peniaga di bazar raya ini kira-kira pukul 4.30 petang tadi (kelmarin),” katanya.
Baca Juga: ‘Ribut 10 Minit’ Sebabkan 4 Rumah Hilang Bumbung
Bumbung empat kediaman diterbangkan ribut yang melanda Kampung Geduk, Gemencheh, di sini, selama kira-kira 10 minit, semalam.
Insiden kira-kira jam 3.40 petang itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang.
Termasuk ada yang menghalang laluan jalan raya, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berkata empat keluarga terjejas selepas bumbung rumah diterbangkan ribut.
Kini mereka menumpang berteduh di kediaman saudara mereka.
“Berdasarkan maklumat penduduk, mereka dikejutkan dengan bunyi angin deras berserta hujan selama kira-kira 10 minit sebelum beberapa bumbung rumah diterbangkan angin kencang.
“Selain itu, ada sekurang-kurang 10 pokok tumbang. Penduduk dapat menyelamatkan diri dan syukur kerana semua tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada BH, hari ini.
Susulan itu, Mohd Isam berkata, kerja pembaikan sumber bekalan elektrik serta air oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah diselesaikan.
“Pejabat Daerah akan memberi bantuan bagi memperbaiki rumah yang mengalami kerosakan mengikut keperluan.
“Manakala, bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan sedang diusahakan.
“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga membantu membersihkan kawasan terjejas serta mengalihkan pokok yang tumbang.
“Saya difahamkan bahawa insiden itu turut mengakibatkan kerosakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Geduk,” katanya.
Sumber: Berita Harian