Atlet paralimpik disuntik vaksin pada 13 April | Atlet para negara yang bakal menyertai Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan menerima suntikan vaksin yang pertama Covid-19 bermula 13 April ini.

Atlet paralimpik disuntik vaksin pada 13 April

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin namun perincian mengenai suntikan berkenaan hanya akan diketahui beberapa hari sebelum tarikh berkenaan.

Beliau menerima maklum balas daripada Institut Sukan Negara (ISN) yang suntikan pertama vaksin akan dilakukan pada 13 April ini untuk atlet, menteri dan juga beliau sendiri yang dijadualkan di ISN ataupun Pusat Kesihatan di Cheras.

“Ini dos pertama untuk atlet dan pegawai yang akan pergi (Paralimpik). Bagaimanapun, jumlah mereka yang akan terbabit pada peringkat pertama itu, saya tidak pasti tetapi ia akan dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis perjanjian persefahaman antara MPM dengan Hospital Rehab ReGen, hari ini.

Selepas vaksin peringkat pertama, para atlet akan menerima suntikan seterusnya sehingga menjelang temasya. Dalam pada itu, Megat turut mengumumkan pelantikan Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin sebagai ketua kontinjen Sukan Para ASEAN Vietnam 2021 yang akan dijadualkan pada 17 hingga 23 Disember ini di Hanoi.

Tambah beliau, pelantikan Nor Azam itu menepati kriteria MPM dengan bekas anggota tentera itu mempunyai pengalaman yang luas dalam arena sukan termasuk sebagai atlet mahupun pegawai sukan.

“Kolonel Azam adalah pilihan yang tepat dengan pengalamannya dalam sukan dan beliau juga merupakan bekas pemain para badminton kebangsaan.

“Beliau pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Eksekutif MPM, bekas Ahli Majlis Badminton Para bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).” katanya.

Sementara itu, Azam berkata, tanggungjawab yang diberikan MPM itu disifatkan sebagai satu cabaran apatah lagi dengan situasi dunia yang ketika ini berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya merasakan ia satu cabaran besar kerana dalam keadaan dunia yang sedang dilanda Covid-19, pelbagai perkara kita yang kena lalui. Sebagai ketua kontinjen, sudah tentu tugas saya adalah untuk mencapai sasaran yang diletakkan tetapi saya juga perlu melalui beberapa prosedur yang ketat untuk menentukan mereka yang pergi dan balik dengan selamat,” kata Azam.

Sumber : Berita Harian 

Share.

Leave A Reply