Guna Nama Melayu ‘Kak Siti Ayam Penyet’, Rupanya Pengusaha Bukan Muslim | Apabila wujudnya norma baharu yang perlu dipatuhi kini, sewajarnya masyarakat takut untuk keluar dari rumah ekoran pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berkurang. Dengan itu, semestinya mereka akan menggunakan perkhidmatan pemesanan makanan secara online untuk memesan apa sahaja makanan yang mereka inginkan hanya dari rumah sahaja.

Namun dikatakan, terdapat pengusaha yang menggunakan nama Melayu tetapi dipercayai pengusaha tersebut bukan dari kalangan yang beragama Islam.

Guna Nama Melayu 'Kak Siti Ayam Penyet', Rupanya Pengusaha Bukan Muslim

Johor Bahru: Peniaga bukan Muslim yang menjalankan perniagaan makanan ‘Kak Siti Ayam Penyet’ yang tular baru-baru ini kerana dipercayai mengaburi pelanggan beragama Islam dengan menggunakan nama Melayu telah diberi notis amaran kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam kenyataannya pada Rabu memaklumkan peniaga itu yang menjual makanan secara dalam talian telah menerima notis yang dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja (MBJB) 2010. Menurut MBJB, hasil siasatan bagaimanapun mendapati peniaga itu sudah mendaftarkan perniagaannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menggunakan jenama sama.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan telah menyatakan notis tersebut dikeluarkan pada Selasa selepas melakukan pemeriksaan di rumah peniaga terbabit di Johor Jaya dekat sini yang dipercayai dijadikan lokasi perniagaan. Bukan itu sahaja, pihak mereka juga telah mengarahkan perniagaannya ditutup serta-merta dan mengemas barang-barang perniagaan berkaitan termasuk menurunkan iklan-iklan perniagaan yang dipamerkan.

“Setakat pemantauan hingga hari ini, perniagaan tersebut tidak lagi beroperasi dan patuh kepada arahan diberikan namun sekiranya ia beroperasi semula, tindakan sitaan barangan akan dibuat serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut aduan dan laporan siasatan kes juga telah dipanjangkan kepada agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, MBJB turut mengingatkan orang ramai supaya memohon lesen perniagaan yang sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan makanan.

“Ini kerana terdapat beberapa syarat utama lesen perniagaan yang perlu dipatuhi para peniaga makanan antaranya berkaitan pengambilan suntikan tifoid bagi pencegahan penularan jangkitan tifoid atau demam kepialu yang boleh tersebar menerusi penyediaan makanan selain pematuhan aspek kebersihan lain dan tatatacara pengendalian makanan yang baik bagi membendung penyakit berjangkit,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pengguna, khususnya yang beragama Islam, turut dinasihat agar lebih teliti memilih perniagaan yang mempunyai sijil penarafan kebersihan MBJB dan sijil halal daripada pihak berwajib.

Pada Selasa, tular mengenai kegiatan peniaga bukan Muslim yang menjual pelbagai makanan menggunakan nama ‘Kak Siti Ayam Penyet’ di sebuah rumah di Johor Jaya melalui aplikasi pemesanan secara dalam talian sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembeli beragama Islam.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply