Arab Saudi Hadkan Pembesar Suara Luar Untuk Azan Dan Iqamat Sahaja | Penggunaan pembesar suara ketika melakukan ibadah solat di masjid mungkin bertujuan untuk mengajak umat islam yang lain untuk sama-sama menunaikan solat. Namun, dalam pada masa yang sama ia juga boleh memberi satu ketidakselesaan kepada sesetengah orang.
Riyadh: Menteri Hal Ehwal Islam, Panggilan dan Bimbingan Arab Saudi Syeikh Dr. Abullatif Abdulaziz Al-Sheikh mengeluarkan arahan supaya pengurusan masjid di semua wilayah di negara itu mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk panggilan azan dan iqamat sahaja.
Menurut laporan akhbar Saudi Gazzate, kekuatan pembesar suara juga tidak melebihi satu pertiga daripada keupayaan maksimum sistem pembesar suara.
Abullatif mengigatkan bahawa tindakan tatatertib akan diambil sekiranya terdapat sesiapa yang melanggar arahan itu.
Surat pekeliling itu dilakukan selepas kementerian memerhatikan bahawa pembesar suara luar yang digunakan semasa menunaikan solat menganggu ketenteraman pesakit, orang tua dan anak-anak di rumah sekitar masjid.
Surat edaran ini turut mengambil kira panduan syariah asas Islam terutama sabda Nabi Muhammad S.A.W bahawa ketika semua jemaah berdoa kepada Allah SWT, mereka tidak boleh menyakiti atau menyusahkan antara satu sama lain dengan pembacaan keras atau terlalu kuat semasa berdoa.
Tindakan ini adalah tertakluk dalam pelaksanaan prinsip fiqah iaitu ‘jangan menyakiti orang lain dan tidak pula yang lain menyakiti anda’.
Apa yang wajib adalah suara imam semasa solat mestilah didengari oleh para jemaah dan semua orang di dalam masjid dan tidak perlu jika menurut syariah agar suara imam juga dapat didengari di rumah-rumah jiran di luar.
Apatah lagi, ia dianggap tidak menghormati al-Quran ketika dibacakan dengan kuat menggunakan pembesar suara luar tetapi tidak ada yang mendengar dan menghayatinya.
Sumber: Kosmo