Program Vaksinasi Telah Dibuka Kepada Individu 25-29 Tahun Di England | Penduduk di United Kingdom kini boleh menarik nafas lega selepas dikhabarkan program vaksinasi di negara terbabit sudah memulakan fasa bagi dewasa berumur 25 hingga 29 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pertama mereka bermula hari ini (8 Jun).
Ia selaras dengan tujuan untuk melihat United Kingdom (UK) ke arah mencapai sasaran menawarkan vaksin kepada semua orang dewasa pada penghujung Julai menurut laporan media tempatan.
Menurut Setiausaha UK Matt Hancock menyuarakan bahawa vaksin ini penting bagi memutuskan hubungan antara jangkitan virus dan kemasukan ke hospital serta kematian.
Jelas beliau, sehingga kini, sudah lebih 76 peratus orang dewasa UK telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos dan 52 peratus orang dewasa telah diberikan dua suntikan serta menyifatkan bahawa ia kelajuan pelancaran vaksin yang sangat luar biasa.
Beliau memberitahu bahawa pasukan vaksinasi kini telah memberi lebih 675,000 suntikan dan menyifatkan bahawa ia merupakan berita gembira sebelum mula menawarkan vaksinasi kepada penduduk di bawah 30 tahun.
Namun, United Kingdom dilaporkan terpaksa menangguh pelonggaran sekatan yang dirancang pada 21 Jun kerana terdapat kebimbangan peningkatan kes jangkitan disebabkan varian India atau dikenali sebagai Varian Delta.
Berdasarkan data yang dirujuk, dikatakan program vaksinasi UK telah berjaya mengelakkan 39,000 kemasukan ke hospital dan 13,000 kematian justeru perkhidmatan kesihatan kebangsaan akan mula memberikan mesej sepanjang minggu bagi menggalakkan golongan belia datang untuk mendapatkan vaksin.
Jawatankuasa Ubat-Ubatan UK turut dalam perancangan untuk menasihati kerajaan mengenai pemberian vaksinasi kepada kanak-kanak bagi meningkat daya imuniti masyarakat.
Sumber: Astro Awani