15 Kilang, 22 Pekerja Dikenakan Kompaun Akibat Ingkar SOP | Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan pergerakan penuh (total lockdown) yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun dan dilanjutkan sehingga 28 Jun ini turut tidak membenarkan sektor perkilangan beroperasi. Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran telah diberikan kepada beberapa jenis sektor perkilangan.

15 Kilang, 22 Pekerja Dikenakan Kompaun Akibat Ingkar SOP

Shah Alam: Polis Shah Alam telah mengenakan kompaun ke atas 15 kilang dalam Op Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (PKP 3.0) bagi kilang-kilang di kawasan Sri Muda, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, setiap kilang masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Daripada jumlah itu, tiga kilang beroperasi tanpa surat kebenaran Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) iaitu kilang pembungkusan/ penghantaran barang dan pencetakan.

“Empat kilang beroperasi tidak mengikut arahan dalam surat kebenaran Miti pula membabitkan kilang bahan ganti telefon, komponen besi dan jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tiga kilang telah melanggar syarat kapasiti pekerja yang dibenarkan 60 peratus adalah kilang elektronik dan pam air.  Bukan itu sahaja, terdapat lima kilang lagi tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas untuk pekerja kilang membabitkan kilang logistik dan pembuatan makanan.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, 15 kilang terbabit dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jumlah keseluruhan kompaun bagi 15 kilang berkenaan adalah RM150,000. Selain itu, seramai 22 pekerja kilang masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 di mana jumlah keseluruhan RM44,000

“Secara keseluruhannya, jumlah kompaun bagi 15 kilang dan 22 pekerja yang dikompaun adalah RM194,000,” katanya.

Beliau berkata, operasi pada 18 Jun hingga 22 Jun itu membabitkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas 333 kilang di kawasan berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply