PPM Gagalkan Cubaan Dua Lelaki, Bawa Daun Ketum Guna Surat MITI Palsu | Masalah ketum ini seperti sudah tidak asing lagi dan masalah seperti ini seringkali kita dengar di sosial media mahupun di dada akhbar. Kelemahan dan kelompangan undang-undang menyebabkan masalah penyalahgunaan serta penanaman ketum masih berleluasa terutama di negeri utara Semenanjung.

PPM Gagalkan Cubaan Dua Lelaki, Bawa Daun Ketum Guna Surat MITI Palsu

Baru-baru ini, Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki membawa 95 bungkus daun ketum seberat 475 kilogram (kg) bernilai RM28,500 ke Lembah Klang, selepas menahan lori tiga tan dinaiki mereka di Batu 5 Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam, semalam.

Dalam pada itu, lori berkenaan turut dikesan menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) palsu untuk merentas negeri bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pemangku Komander PPM Wilayah Satu, Superitendan Shoppri Saad, berkata dua lelaki berusia 47 dan 48 tahun berkenaan ditahan pada 1.45 pagi hasil maklumat risikan selama sebulan.

Beliau berkata, suspek mendapatkan bekalan daun ketum dari Seberang Perak dan dalam perjalanan ke Lembah Klang.

Bukan itu sahaja, katanya, pemeriksaan menemui 475kg daun ketum yang disimpan dalam 95 bungkusan plastik hitam pada bahagian belakang kenderaan berat berkenaan.

“Daun ketum berkenaan dipercayai mendapat permintaan tinggi di Lembah Klang menyebabkan mereka mengambil peluang untuk melakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu bersama rampasan kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, keseluruhan nilai barang rampasan dianggarkan RM60,000 termasuk lori berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (no 3) 2020,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply