Kilang Fucuk Diarah Tutup Akibat Kotor, Penuh Najis Tikus | Sebuah kilang memproses fucuk diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor, meloyakan dan menjijikkan selain terdapat najis tikus di ruang pemprosesan makanan, baru-baru ini.
Kilang fucuk kotor, penuh najis tikus diarah tutup https://t.co/zjcU0CavV7 pic.twitter.com/PMmHwy5kKU
— BERNAMA (@bernamadotcom) October 27, 2021
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid, eadaan kilang tersebut disifatkan sebagai tidak layak beroperasi dan perlu menghentikan segala kerja memproses makanan dengan kadar segera.
Menerusi laporan Bernama, beliau memberitahu bahawa keadaan kilang fucuk ini sangat kotor dan membimbangkan sehingga boleh dikatakan 200 peratus kotor dan tidak layak beroperasi memandangkan tahap kebersihan premis tidak menepati standard kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan.
Tambah beliau lagi, kilang tersebut didapati tidak memiliki lesen perniagaan yang sah dan dipercayai beroperasi melebihi 10 tahun dan dikenakan kompaun kira-kira RM5,500 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang turut serta dalam operasi ini iaitu berniaga tanpa lesen bernilai RM500.
Arahan penutupan premis adalah di bawah Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini.
Jelas beliau, antara kesalahan lain yang dilakukan adalah terdapat seorang pekerja kilang itu yang merupakan warga Myanmar tidak menerima suntikan tifoid selain tidak memakai kelengkapan yang sesuai semasa mengendalikan makanan di samping terdapat binatang peliharaan seperti anjing berada di dalam premis berkenaan yang sememangnya tidak mematuhi prosedur ditetapkan.
Arahan penutupan kilang tersebut adalah disebabkan terdapatnya najis tikus, lalat dan lipas selain ia berkait dengan keracunan makanan yang boleh menyebabkan pencemaran sama ada bakteria dan fizikal justeru kilang ini perlu ditutup sebelum berlakunya kes keracunan makanan.
Sumber: Bernama