Gadis 26 Tahun Ini Menjadi Tumpuan Warganet. Ini Sebabnya. | PETALING JAYA: Usikan berterusan oleh orang ramai mendorong Nur Atiqah Abdul Malek mencari gambar Low Taek Jo atau Jho Low.
Melihat gambar Jho Low, Nur Atiqah terpaksa “mengaku” iras wajahnya memang ada persamaan dengan ahli perniagaan itu yang diburu polis kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Gadis berusia 26 tahun itu kemudian mengambil keputusan menerbitkan video Tik Tok yang memaparkan wajahnya dengan gambar Jho Low sebagai latar belakang.
Nur Atiqah melakukannya sebagai gurauan, namun video itu turut memperlihatkan kreativiti beliau dalam menghasilkannya.
Video Tik Tok itu sudah mendapat lebih 10,000 “like” dan hampir 800 komen mencuit hati warganet yang rata-ratanya terkejut dengan persamaan dua individu itu.
“Kenapa (orang ramai samakan wajah saya dengan) Jho Low? Itu yang saya tak faham. Jadi saya pergi cari gambar Jho Low dan buat bahan (media sosial) sebab saya (rasa) benda ini macam kelakar.
“(Bagi saya) ini lawaklah walaupun dia (Jho Low) sangat dikehendaki di Malaysia,” katanya kepada FMT.
Dia menyunting gambar Jho Low seolah-olah individu itu berada di belakangnya. Atiqah kemudiannya “sengih” sehingga menampakkan wajah mereka benar-benar mirip.
Graduan ijazah pengurusan hartanah dari Universiti Tun Hussein Onn itu seronok membaca komen kelakar daripada pengikut akaun TikToknya.
“Komen-komen (ini) saya sangat suka. Semua orang sangat beri sokongan dan sama macam saya ‘masuk air’.
“Antara komen kelakar (saya) sangat gembira baca adalah ‘adik-beradik ke?’ dan tolong pulangkan duit rakyat!” kata beliau.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, sambutan yang diberikan warganet kepada video itu menambah keyakinannya untuk terus aktif dalam menghasilkan kandungan kreatif di media sosial.
Sumber: FMT