Mekanik Rentung Kereta Terbakar, Bapa Pula ‘Menyusul’ Selang 10 Jam | KUALA TERENGGANU – Bapa kepada mekanik yang maut dalam tragedi kebakaran kereta dekat Kampung Wakaf Beruas, di sini meninggal dunia selang 10 jam selepas pemergian anaknya.

Jaafar Abdullah, 76, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, jam 5 pagi pada Ahad.

Jenazah kedua beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Baharu Wakaf Mempelam pada jam 1.30 petang Ahad.

Isterinya, Zabedah Dagang, 68 berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas berikutan tahap kesihatannya merosot akibat komplikasi penyakit termasuk penyakit lelah yang dialami sejak dua minggu lalu.

“Dia mengalami penyakit lelah sejak tiga tahun lalu. Dua minggu lalu tahap kesihatannya bertambah buruk dan dibawa serta ditahan wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Arwah anak saya (Mohd Azizi) berkeras mahu bawa bapanya (arwah suami) pulang untuk menjaganya di rumah. Tak sangka pula dia yang ‘pergi’ dulu dan suami pula ‘menyusul’ tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Ahad.

Menurut Zabedah, dia masih terkejut kerana kehilangan dua insan tersayang serentak namun hanya mampu menitipkan doa, reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

Pada Sabtu tular di media sosial seorang mekanik rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah Perodua Alza di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas, di sini pada Sabtu.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply