Bagasi Disangka Berisi Bom Cetus Kebimbangan Orang Ramai | PETALING JAYA: Pengunjung di Jalan Telawi Bangsar dekat sini gempar selepas beg pakaian yang disangka mengandungi bom ditemukan di kawasan tersebut semalam.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.15 petang yang memaklumkan ternampak beg pakaian di tepi tong sampah berhampiran sebuah kedai basikal.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata,  bertindak atas maklumat berkenaan, anggota Unit Pengesan Bom Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pemeriksaan objek yang disyaki bom di dalam beg berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk (bahan letupan) ditemukan di dalam beg itu.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan rakaman imej separuh badan dan menunjukkan lelaki memakai seluar pendek meletakkan beg bagasi di lokasi kejadian sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amihizam menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menemukan sebarang objek dalam keadaan meragukan dan terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Ujar beliau, saksi awam di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang terlibat dalam insiden itu diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply