(Ada Video)  100 Penduduk Bermalam Atas Bumbung Surau Akibat Banjir Selama 12 Jam | Kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding di sini yang terperangkap akibat banjir terpaksa berlindung lebih 12 jam atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding di sini pada Ahad.

(Ada Video) Banjir: 100 Penduduk Bermalam Atas Bumbung Surau Selama 12 Jam

Penduduk yang dikenali sebagai Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang rakannya menerusi perkongsian video ketika berada di atas bumbung surau berkenaan.

Menurutnya, penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi meskipun dalam keadaan kesejukan akibat hujan renyai.

Menurutnya, dia antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana.

Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba.

Jelas Puteri Nadia, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas terpaksa menumpang teduh di atas bumbung terbabit.

Rumah mereka dikatakan kebanyakannya sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk.

Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran.

Katanya, pada masa ini penduduk mula dipindahkan dengan bantuan bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Taman Perkasa.

Setakat jam 10 pagi tadi (Ahad) proses pemindahan penduduk ke lokasi lebih selamat masih dijalankan dan berharap semuanya dalam keadaan selamat.

Sebelumnya, satu video telah tular di media sosial yang menunjukkan penduduk di Taman Sri Nanding terpaksa berlindung di atas bumbung surau kerana rumah mereka dilaporkan telah ditenggelami air akibat banjir.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply