Perak Cadang Projek Balak Dan Lombong Di Hutan Simpan Kenderong. | PETALING JAYA: Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan projek pembalakan dan melombong bijih timah seluas 245 hektar dalam kawasan Hutan Simpan Kenderong di Hulu Perak dengan pemegang pajakan melombong ialah MB Inc Perak.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, tapak yang dicadangkan adalah kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) Tahap 1 dengan sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti eko pelancongan, penyelidikan dan pendidikan.
Di samping itu katanya, kawasan dicadangkan itu terletak dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang merupakan habitat spesies hidupan liar terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.
“Rangkaian utama dalam kawasan CFS adalah satu koridor semula jadi yang amat penting untuk mamalia bersaiz besar yang membolehkan mereka bergerak dari satu kompleks hutan utama ke kompleks hutan utama yang lain untuk mencari makanan dan habitat.
“Cadangan projek perlombongan di lokasi seperti ini akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) cadangan projek berkenaan, tapak yang dicadangkan adalah kawasan berbukit yang mempunyai ketinggian 320 hingga 450 meter melebihi paras laut, dan juga kawasan tadahan air.
“Laporan EIA dengan jelas menyatakan bahawa terdapat beberapa anak sungai yang mengalir berdekatan dengan tapak projek yang akhirnya mengalir ke dalam Sungai Perak.
“Sungai Perak merupakan sumber air utama untuk negeri Perak yang membekalkan sebanyak 45% sumber air untuk negeri tersebut. Sebarang ancaman terhadap sumber air tempatan semata-mata untuk keuntungan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak harus dibiarkan berlaku,” tegasnya.
Justeru beliau menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak meluluskan laporan EIA cadangan projek tersebut dan kerajaan negeri Perak mengambil langkah segera untuk membatalkan nyahwarta Hutan Simpan Kenderong.
Tegasnya, kerajaan negeri perlu mewartakan semula hutan berkenaan sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan pengelasan sebagai hutan tadahan air.
“SAM membantah sekeras-kerasnya cadangan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di HS Kenderong dan ingin mengulangi pendirian tegas kami terhadap sebarang cadangan projek yang tidak mampan, memusnahkan alam sekitar, menjejaskan sumber air, kehidupan dan mata pencarian masyarakat,” katanya.
Sumber: FMT