Lelaki Mati Selepas Ditahan, Keluarga Dapat Maklumat 2 Bulan Kemudian. | BUKIT MERTAJAM: Seorang ahli politik tempatan hari ini menuntut jawapan daripada polis mengapa keluarga seorang lelaki yang ditahan tidak dimaklumkan mengenai kematiannya selepas hampir dua bulan.

Lelaki Mati Selepas Ditahan, Keluarga Dapat Maklumat 2 Bulan Kemudian

Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, P David Marshel, berkata mendiang Kumar Selvadurai, 35, ditahan polis bersama dua yang lain di Butterworth pada 10 Dis atas kes curi.

Beliau berkata, sebaik mendengar penahanan itu, adik Kumar telah pergi ke balai polis Kepala Batas di mana dia ditahan.

David berkata, ketika itu adiknya melihat Kumar dikepung anggota polis di lokap dan kemudiannya diarah keluar.

Adik Kumar kemudian diberitahu untuk datang ke mahkamah keesokan harinya, tetapi dia tidak dapat hadir.

Keluarga kemudian mendapati, dua yang ditahan bersama Kumar telah dibebaskan. Apabila keluarga itu datang mencari Kumar, polis mendakwa mereka tidak tahu di mana dia berada.

David berkata, seorang anggota polis kemudian menasihati keluarga Kumar untuk mencarinya di Penjara Jawi, tetapi dia juga tidak berada di sana.

Semalam, keluarga itu memutuskan untuk membuat laporan orang hilang di Balai Polis Butterworth, dan diberitahu bahawa Kumar “sudah meninggal dunia pada 13 Dis”.

David berkata, polis kemudian memberitahu keluarga bahawa Kumar dibawa ke Hospital Kepala Batas kerana disyaki sawan sehari selepas penahanannya dan kemudian dirujuk ke Hospital Seberang Perai, di mana dia dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata, difahamkan apabila polis membawa Kumar ke hospital, mereka telah menandatangani dokumen pembebasannya, dan diberikan jaminan polis.

David berkata, keluarga itu diberitahu, memandangkan tiada sesiapa datang untuk menuntut mayat Kumar, ia diserahkan kepada NGO yang tidak dinamakan untuk “diproses”.

“Ada beberapa persoalan, mengapa polis membebaskan Kumar semasa dia dimasukkan ke wad?

“Dan di manakah mayat Kumar sekarang? Ibunya merayu kepada polis untuk memulangkan mayatnya bagi memberikan penghormatan terakhir kepadanya?

“Mengapa polis tidak mempunyai budi bicara memaklumkan keluarga bahawa Kumar jatuh sakit dan dimasukkan ke wad? Mengapa mengambil masa 50 hari sebelum memaklumkan kepada keluarga apa yang telah berlaku?

“Adakah dia benar-benar mendapat sawan atau ada sesuatu yang lain?”

Adik Kumar, Thines, 27, membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam hari ini, meminta siasatan dijalankan berhubung keadaan kematian Kumar.

FMT telah menghubungi IPD Seberang Perai Utara dan Tengah bagi mendapatkan ulasan.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply