Penerima vaksin boleh melaporkan sendiri kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sekiranya pengamal perubatan yang merawat mereka tidak berbuat demikian.
Ketua Seksyen Farmakovigilans, Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Azuana Ramli, berkata lazimnya laporan berkenaan AEFI dibuat pengamal perubatan di KKM atau swasta jika mengesyaki ada kaitan dengan pemberian vaksin.
Bagaimanapun, katanya, penerima vaksin yang berasa mengalami kesan berkenaan boleh memuat turun borang dalam laman sesawang NPRA dan mengisinya sendiri sebelum diemel kembali kepada pihak terbabit.
Jelasnya, jika berasa terkesan dengan pelalian diterima, segera ke klinik kesihatan atau pusat perubatan swasta untuk pemeriksaan.
Katanya, perawat boleh melaporkannya kepada NPRA. Jika doktor tak mengesyaki ia berlaku, tiada laporan dibuat tetapi jika pesakit berasa ia kesan AEFI, pesakit boleh melaporkan.
Sambungnya lagi, sekiranya ada dua laporan diterima iaitu daripada doktor dan pesakit, kita ada cara untuk melihat identifikasi laporan sama.
Beliau mengulas rungutan sesetengah pihak bahawa ada pengamal perubatan keberatan melaporkan kesan disyaki AEFI kepada NPRA walaupun dianggap serius serta mempunyai kaitan dengan pengambilan vaksin oleh pesakit.
Pesakit boleh membuat laporan mengenai AEFI melalui aplikasi MySejahtera untuk kesan tersenarai dan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) menerusi laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my.
Sementara itu, Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani, berkata penerima vaksin COVID-19 perlu mendapatkan rawatan dan pemeriksaan terhadap kesan yang dialami selepas mendapatkan dos vaksin sebelum mengemukakan laporan kepada pihaknya.
Beliau berkata, maklumat perlu disertakan dalam laporan kepada NPRA untuk memudahkan siasatan.
Ulasnya, kalau tidak jumpa maklumat pun pihak mereka boleh menghubung pelapor semula atau berhubung dengan Klinik Kesihatan yang dikunjungi untuk mendapat rawatan.
Katanya lagi, lebih banyak maklumat disertakan adalah lebih baik.
Menurut Dr Roshayati, garis panduan NPRA ialah pelapor perlu memaklumkan apa yang berlaku dalam tempoh 30 hari selepas mendapatkan vaksin.
Jelasnya, jika penerima vaksin masih beranggapan kesan dialami ada kaitan dengan vaksinasi selepas tempoh berkenaan, mereka masih boleh membuat laporan kepada NPRA.
Beliau memaklumkan pihaknya menerima 94 laporan AEFI membabitkan penerima vaksin golongan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun setakat 25 Februari lalu.
Daripada laporan itu, katanya, hanya dua dikategorikan sebagai serius.
Ujarnya, ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mengalami gejala asma teruk dan dirawat dua hari di hospital sebelum dibenarkan keluar.
Difahamkan, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami kelemahan otot muka (bell palsy). Dia dirawat sehari di hospital dan dilaporkan semakin pulih.
Sumber: Berita Harian