Polis mengesan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menghimpit sebuah kereta sehingga hampir melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Perai di sini.

(VIDEO) Polis Buru Pemandu Pacuan empat Roda Yang Himpit Kereta

Kejadian itu dipercayai berlaku kelmarin sebelum tular di media sosial selepas seorang pengguna jalan raya memuat naik rakaman video dari papan pemuka kenderaannya ke laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya mengesan video berdurasi seminit 35 saat itu di aplikasi Facebook kira-kira pukul 4.30 petang semalam sebelum membuka satu kertas siasatan.

“Siasatan kita mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.49 petang kelmarin di Kilometer 138.7 PLUS.

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda didapati menghimpit sebuah kereta yang nombor pendaftarannya tidak pasti sehingga hampir berlaku kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafee, pihaknya sedang mengesan pemandu kedua-dua kenderaan itu bagi siasatan lanjut, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Firdaus Abdul Ghani di talian 014-3955400 atau 04- 5382222.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menerusi rakaman berkenaan, sebuah pacuan empat roda berwarna putih dilihat mengekori sebuah kereta berwarna kelabu sebelum menghimpit kereta itu beberapa kali.

Kereta berkenaan kemudiannya dilihat terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar kon dan hampir melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan,

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply