KUALA TERENGGANU: Walaupun pernah gagal dalam menghasilkan wau naga sepanjang 90 meter, itu tidak menghalang penduduk Kampung Tok Dir, di sini, untuk terus berusaha.
Mohammad Roslan Ahmad, 29, berkata, cubaan pertama tidak membuahkan hasil apabila wau naga yang dihasilkan tidak mampu meluncur di udara.
Katanya, penduduk di situ terus berusaha mempelajari teknik membina wau naga dan kini mereka mempunyai sebuah wau sepanjang 70 meter yang mampu diterbangkan di udara.
“Wau ini memerlukan 15 tenaga kerja dan mengambil masa 60 hari untuk disiapkan dengan kos lebih RM2,000. Kami perlu 20 orang untuk menaikan wau terbabit.
“Wau ini hanya boleh dinaikkan ke udara ketika angin betul-betul bertiup kencang memandang struktur daripada buluh yang panjang dan berat,” katanya, di sini.
Tambahnya lagi, penduduk bersama-sama menyiapkan wau pada waktu malam.
Katanya, pengalaman membina wau naga sebelum ini banyak memberi pengajaran kerana sekiranya tersilap teknik sambungan antara bahagian bahagian, wau tersebut tidak akan mampu naik ke udara.
“Sekiranya mendapat jemputan bagi tujuan pertunjukan, kami bercadang menyambung wau terbabit hingga mencecah 100 meter panjang,” katanya.
Sumber: Berita Harian