“Awas Geng Plastik Hitam”, Jaheaik Beri Amaran Akan Pantau ‘Hotspot’ Di Kelantan | Khalifah Media Networks – KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) akan memantau lebih 50 lokasi ‘panas’ di seluruh negeri ini pada bulan Ramadan ini.
Lokasi ini sering menjadi tumpuan geng ‘plastik hitam’ melampiaskan nafsu mereka. Mereka makan pada waktu siang hari ketika umat Islam lain sedang berpuasa. Malah kawasan ini menjadi tumpuan dan mereka akan datang ke sini untuk makan di waktu tengah hari.
Kenyataan dari Dr Hasnan Ramli
Timbalan Pengarah Operasi Jaheaik, Dr Hasnan Ramli berkata, lokasi panas itu merangkumi premis-premis perniagaan dan kilang kayu.
Serta tempat tersorok yang turut menjadi pilihan golongan tidak berpuasa.
Katanya lagi, rondaan berkala oleh anggota penguat kuasa akan terus diperhebatkan dari masa ke masa untuk memastikan tiada pelanggaran dilakukan oleh umat Islam.
Beliau ditemui pemberita semasa sidang media sempena Ramadan di sini, pada Isnin.
Menurutnya, rondaan tersebut akan bermula seawal jam 11 pagi di seluruh negeri untuk memantau aktiviti berkenaan.
Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak tiga kes melibatkan individu lelaki makan pada waktu siang pada bulan Ramadan telah direkodkan.
“Dua kes direkodkan di Kota Bharu dan satu di Pasir Puteh dan kesemua mereka sudah didenda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hasnan berkata, pindaan Enakmen Kanun Jenayah I 2019 yang telah diluluskan tahun lalu mengenakan hukum denda lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Mengikut Seksyen 10 tidak menghormati bulan Ramadan mana-mana orang yang pada waktu berpuasa memberi, menjual atau membekal kepada mana-mana orang Islam. Apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu. Ataupun secara terbuka atau di tempat awam atau di mana-mana tempat didapati makan, minum. Atau juga menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya.
“Jika disabitkan kesalahan pertama denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun.
Sumber: Sinar Harian