Kerajaan wajar mendedahkan laporan hasil siasatan ke atas buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sudah disiapkan Pasukan Petugas Khas, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid Desak Laporan Siasatan Buku Tommy Thomas Didedahkan. 'Ini' Sebabnya..

Beliau berkata, laporan itu tidak sepatutnya dibiarkan disimpan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi akan mengulangi kertas siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara `lantikan politik’ itu.

Tambahnya lagi, laporan Pasukan Petugas Khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan mengenai isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan laporan akhir pasukan petugas khas siasatan terhadap dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan Tommy akan dibentangkan kepada jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Katanya, pembentangan itu ia bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.

Beliau berpandangan, pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung, mengenal pasti 19 isu penting daripada buku itu yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan.

Ahmad Zahid berkata, laporan itu juga mendedahkan kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO Ogos tahun lalu meminta supaya kerajaan segera menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy.

Jelasnya, RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Katanya, bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply