Dua Pesawat Tentera Bertembung Semasa Pertunjukan Udara | Pegawai persekutuan berkata, dua pesawat bersejarah tentera bertembung dan terhempas semalam semasa pertunjukan udara Dallas, menyebabkan kepulan asap hitam berkepul ke langit.
Tidak jelas berapa ramai orang di dalam pesawat itu atau jika sesiapa di darat cedera.
Kru kecemasan bergegas ke tempat kejadian di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas, kira-kira 16 kilometer dari pusat bandar.
Boeing B-17 Flying Fortress dan Bell P-63 Kingcobra bertembung dan terhempas sekitar pukul 1.20 tengah hari, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam satu kenyataan.
Perlanggaran itu berlaku semasa pertunjukan Commemorative Air Force Wings Over Dallas.
B-17, pesawat pengebom empat enjin yang besar, adalah tunjang kepada kuasa udara AS semasa Perang Dunia II.
Kingcobra, sebuah pesawat pejuang AS, kebanyakannya digunakan oleh tentera Soviet semasa perang.
Kebanyakan B-17 dimansuhkan pada penghujung Perang Dunia II dan hanya segelintir yang masih kekal hari ini dengan sebahagian besarnya dipamerkan di muzium dan pertunjukan udara, menurut Boeing.
Beberapa video yang disiarkan di Twitter menunjukkan bahawa pesawat pejuang itu kelihatan bertembung dengan pesawat pengebom, itu, menyebabkan kedua-duanya segera terhempas ke tanah, mencetuskan bola api dan asap yang besar.
FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan giat melancarkan siasatan.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Lain
6 Terkorban Akibat Pesawat Pejuang Rusia Terhempas
6 Terkorban Akibat Pesawat Pejuang Rusia Terhempas | Sekurang-kurang enam orang maut, manakala 19 lagi cedera selepas pesawat pejuang tentera Russia terhempas pada sebuah bangunan pangsapuri di sini, lapor agensi berita Tass.
Menurut agensi berita yang memetik pegawai tempatan, dalam kejadian tersebut, enam orang dilaporkan hilang,
Saluran berita tentera Zvezda menyiarkan video menunjukkan letupan pesawat pejuang pengebom jarak sederhana supersonik Sukhoi Su-34 ketika pesawat tersebut menjunam ke arah pangsapuri.
Menteri Kecemasan Persekutuan, Alexander Kurenkov memaklumkan bahawa enam orang terkorban, manakala enam lagi hilang seperti dilaporkan oleh Tass.
Katanya, Presiden Russia, Vladimir Putin segera mengarahkan beliau bergegas ke lokasi nahas selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu.
Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar pangsapuri sembilan tingkat itu terbakar kerana nahas terbabit dan pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran sudah dipadamkan.
Gabenor Wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratyev menafikan tentang laporan tempatan yang mendakwa pesawat itu membawa muatan berisi peluru.
“Jika ia berlaku, hanya separuh bangunan mungkin berada di sini,” katanya kepada pemberita lapor RIA.
Kira-kira 250 penghuni dipindahkan termasuk 40 kanak-kanak, kata pihak berkuasa.
Dalam pada itu, RIA memaklumkan bahawa nahas berlaku ketika pesawat dalam penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera.
Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa juruterbang terlebih dulu memaklumkan mengenai enjin pesawat yang terbakar ketika beliau memulakan penerbangan dan mencetuskan kebakaran apabila merempuh bangunan tersebut.
Jawatankuasa Penyiasat Russia yang menangani jenayah serius mengatakan bahawa pihaknya akan membuka kertas siasatan dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Kremlin menyatakan Putin sudah dimaklumkan mengenai nahas itu dan beliau sudah mengarahkan segala bantuan diberikan kepada mangsa.