Pekebun Miliki Senapang Angin Buatan Sendiri Ditahan | Seorang pekebun berusia 53 tahun ditahan dan selaras senapang angin dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Sri Medan pada Ahad.
Asisten Komisioner Ismail Dollah, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan di bengkel berkenaan pada jam 1.15 tengah hari.
Beliau berkata, hasil serbuan tersebut pihak polis merampas senapang angin serta peluru yang berada dalam sebuah kereta di bengkel berkenaan. Senapang angin tersebut dipercayai dibuat sendiri oleh suspek.
Beliau juga berkata dalam kenyataan pada Isnin bahawa suspek mempunyai rekod lampau atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dan jenayah.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah.
Menurutnya, suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
Tambah Ismail, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Lain
Warga Emas Didakwa Tembak Kucing Jiran Guna Senapang Angin
Lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menembak seekor kucing dan memiliki senapang angin tanpa lesen pada Jun lalu.
Tertuduh, Aziz Tambi, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan pada prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Majistret Nabilah Nizam.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas pertuduhan menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai pada 18 Jun lalu, jam 2.30 petang.
Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun peguam Ishak Mohd Kari merayu jumlah itu dikurangkan.
Peguam memberi alasan antaranya tertuduh sudah lanjut usia dan menghidapi pelbagai penyakit serta masih membuat kerja kampung untuk menyara keluarga.
Katanya, tertuduh tinggal di Melaka dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis berkaitan kes itu selain bersedia menerima syarat tambahan seperti melaporkan diri di Balai Polis hingga kes selesai.
Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dan kes untuk sebutan bagi serahan dokumen pada 11 Januari 2023.
Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Majistret tertuduh mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki selaras senapang angin tanpa lesen sah di tempat sama pada 19 Jun lalu, kira-kira jam 8 malam.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan RM5,0000, namun dirayu peguam atas alasan sama.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dan kes untuk sebutan pada 11 Januari 2023.
Akhbar ini pada 21 Jun lalu melaporkan polis memberkas bapa dan anak lelakinya selepas dipercayai terbabit perbuatan menembak mati kucing menggunakan senapang angin di Bukit Rambai kerana marah haiwan itu memasuki rumah mereka.
Perbuatan itu terbongkar selepas pemilik kucing membawa haiwan itu yang mengalami muntah darah serta luka di belakang badan ke klinik haiwan untuk rawatan dan doktor mengesahkan ia ditembak hasil penemuan geguli besi di dalam badan.
Polis turut mengesahkan senapang angin yang dirampas dalam kes itu adalah senjata buatan sendiri.
Sumber : HM