RANTAU PANJANG – Penduduk di Kampung Tasek Bakong di sini, terpaksa menggunakan air bah untuk membancuh susu anak mereka selepas terputus bekalan air bersih apabila kawasan rumah terjejas banjir sejak Ahad lalu.
Penduduk di kampung itu terpaksa berbuat demikian selepas pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibina secara bergotong-royong sebelum ini di sebuah kawasan kebun kelapa sawit ditenggelami banjir setinggi dua meter.
Wakil mangsa banjir, Che Haron Zakaria, 57, berkata, sumber air yang terputus menyebabkan mereka menggunakan air banjir untuk memasak dan minum sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, mereka tiada pilihan lain dan tidak boleh memilih apabila berada dalam keadaan darurat.
“Air banjir itu akan dimasak terlebih dahulu dan ia akan dijadikan minuman dan untuk kegunaan memasak bagi kami. Penduduk turut menggunakan air itu untuk membuat susu 10 bayi yang berada di sini.
“Sehingga kini, kami masih menunggu bantuan bekalan air bersih daripada sesiapa sahaja yang sudi meredah banjir datang ke sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Che Haron memberitahu, pada peringkat awal, lebih 200 penghuni telah berpindah ke PPS berkenaan, namun sebahagian besar terpaksa meninggalkan kawasan itu kerana air semakin naik kelmarin.
Katanya, sebahagian besar penduduk itu telah berpindah ke sebuah gudang yang terletak tidak jauh dari kawasan kampung berkenaan.
“Saya bersama 69 lagi mangsa banjir memilih untuk kekal di sini selepas melihat keadaan air semakin surut sejak petang semalam (kelmarin),” katanya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Allahuakbar. Al-Quran & Tempat Imam Sedikit Tak Kena Air Banjir. | Kuala Lumpur: “Keadaan al-Quran itu sedikit pun tak kena lumpur dan tak terbalik sedangkan air sangat deras hingga mesin basuh dan tong gas terbalik,” kata Zumigawati Mat Adam, 49.
Zumigawati yang tinggal di Kampung Tengkawang Kuala Berang, Terengganu berkata, rumahnya mulai dinaiki air kelmarin sebelum dia terkejut melihat al-Quran yang sering dibaca dan diletakkan atas tilam dalam bilik itu tidak terjejas.
“Setiap kali selepas solat, saya akan membaca al-Quran dan letak atas ‘toto’. Selalu tengok orang kongsi al-Quran selamat tak kena banjir, tapi kali ini terjadi kepada saya.
“Ketika melihat kejadian ini depan mata, tiada lain yang diungkapkan selain memuji kebesaran Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, apa yang membuatkan dia terkejut juga apabila terdapat labah-labah pada rehal itu.
“Keadaan rumah saya penuh lumpur dan berselut. Kalau tengok bahagian dalam al-Quran hanya basah sikit tapi macam terkena air bersih.
“Bahagian atas al-Quran pula bersih dan sedikit lumpur pun tak ada, kemudian, ada labah-labah kecil betul-betul atas atas rehal. Saya teringat kisah labah-labah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW ketika dalam Gua Hira,” katanya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Zumigawati yang pernah terbabit dalam industri seni sebagai pekerja belakang tabir turut memohon sukarelawan bagi membantu membersihkan rumahnya yang habis ditenggelami banjir.
“Elektrik dah ada cuma air paip masih perlahan. Saya nak minta tolong sukarelawan datang di kampung saya bagi membantu pendudukan yang terjejas teruk akibat banjir ini.
“Pertama kali ruang tamu dan semua bilik dinaiki ini. Banjir tahun sebelum ini pun tidak seteruk sekarang.
“Semuanya habis rosak kena lumpur banjir. Kalau ada yang nak menyumbang walau RM10 pun saya bersyukur dan boleh buat beli tikar baru,” katanya.
Sumber: KMN