Kehadiran seekor harimau bintang di tempat awam mengejutkan orang ramai yang turut bimbang dicederakan haiwan buas terbabit.

Menerusi sebuah video tular, harimau tersebut dilihat mengamuk dan melompat di atas pagar sebuah rumah, sebelum memaut sebuah van yang melalui sebuah jalan tidak berturap di Jorhat, dekat timur laut India baru-baru ini.

Pada masa sama, haiwan itu sempat mencabut bahagian luar kenderaan tersebut sebelum melarikan diri ke jalan raya.

Memetik laporan berita antarabangsa, harimau tersebut sudah menyerang sekurang-kurangnya 15 orang termasuk pengawal hutan, seorang ibu serta dua anak perempuannya.

“Sesetengah penduduk terdedah dengan situasi bahaya kerana harimau bintang itu berkeliaran di halaman rumah mereka.

“Ramai yang cedera akibat digigit haiwan itu dan memerlukan rawatan di hospital, tetapi nampaknya mereka sudah keluar dari bahaya sekarang,” kata seorang pegawai hutan, Ranjit Konwat kepada pemberita.

Pada masa sama, haiwan itu sudah ditenangkan pada Khamis lalu selepas pencarian selama dua hari.

Ia akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum dilepaskan ke Taman Negara Kaziranga.

Harimau bintang biasanya tidak menyerang manusia tanpa provokasi, jelas pegawai hutan itu.

Meskipun tidak diketahui punca amukan haiwan itu, ia dipercayai melarikan diri dari Santuari Hidupan Liar Gibbon berhampiran untuk mencari makanan.

Serangan spesies kucing besar menjadi luar biasa di India, berikutan populasi yang semakin meningkat, selain pencerobohan kawasan hutan bagi membina kawasan perumahan dan infrastruktur.

Sumber: Majoriti

 

Baca Juga: Harimau Tiba-Tiba Masuk Rumah, Warga Emas Strok Cedera Dicakar

Penduduk di Kampung Sentang, Pagar Sasak, dekat Lipis, gempar apabila seekor harimau akar ditemui di bawah rumah seorang penduduk, jam 6.30 petang semalam.

PERHILITAN Lipis berjaya menangkap seekor harimau akar yang berada di bawah rumah seorang penduduk di Kampung  Sentang, Pagar Sasak, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM

Keadaan itu menyebabkan penduduk mengambil tindakan mengepung harimau berkenaan yang berada di bawah rumah Faridah Ishak, 58, bagi mengelakkannya lari.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima maklumat dari anak saudara pemilik rumah, terdapat seekor harimau dikenal pasti jenis harimau akar.

Katanya, anggota pondok Pagar Sasak ke lokasi kejadian dan mendapati penduduk kampung mengepung harimau berkenaan yang berada di bawah rumah Faridah.

” Kejadian itu dikatakan berlaku apabila harimau itu mengejar seekor kucing sehingga masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan.

” Ketika kejadian terdapat dua warga emas di atas rumah itu iaitu suami yang berusia 55 tahun dan isterinya Faridah yang sakit stroke terlantar di atas katil,” katanya.

Beliau berkata, terkejut dengan kehadiran harimau itu, suami Faridah menghalau harimau itu dan haiwan itu melompat ke atas katil dan mencakar kening isterinya, Faridah menyebabkannya mengalami luka kecil.

Katanya, pihak Klinik Kesihatan Padang Tengku membuat rawatan ke atas mangsa.

Azli berkata, harimau akar itu menyorok di bawah rumah mangsa.

Pihak polis dan bomba yang berada di tempat kejadian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Lipis untuk tindakan selanjutnya.

“Perhilitan Lipis sampai jam lapan malam ke lokasi kejadian untuk tindakan dan berjaya menangkap setelah menembak dengan ubat pelali pada jam 12.45 tengah malam,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply