Empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terkejut apabila menemui seorang kanak-kanak perempuan seorang diri di sekitar Gunung Jerai dalam kejadian lebih kurang jam 3.30 petang di sini pada Rabu.
Penolong Pegawai Rela Daerah Yan, Penguasa Rela Hamzah Zulkeffli berkata, ketika itu anggota sedang membuat rondaan di Gunung Jerai sebelum terlihat kanak-kanak yang dipercayai berusia sekitar tiga tahun itu berkeliaran seorang diri di kawasan tersebut.
Menurutnya, atas rasa keprihatinan, anggota bertugas mendekati kanak-kanak tersebut yang ditemui dengan hanya memakai lampin pakai buang di kawasan tempat letak kereta kaki Gunung Jerai.
“Seramai empat anggota diketuai Mohd Zaudi Mohd Hashim ketika itu sedang melakukan rondaan Ops Monsun Timur Laut dan mereka membuat tinjauan di sekitar kawasan peranginan Gunung Jerai yang merupakan kawasan risiko bencana.
“Apabila sampai di kaki Gunung Jerai ternampak seorang kanak-kanak perempuan tidak berpakaian dan hanya memakai selipar serta lampin pakai buang.
“Setelah pemeriksaan mendapati tiada waris di lokasi berkenaan, anggota membuat keputusan menghantar kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Guar Chempedak untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, kes dilaporkan selesai di mana hasil semakan terkini mendapati kanak-kanak perempuan itu telahpun diserahkan kepada waris yang menyedari kehilangannya,” katanya.
Menurutnya, difahamkan, kanak-kanak itu dipercayai keluar rumah tanpa disedari penjaganya dengan berjalan kaki sehingga ke kaki Gunung Jerai yang jaraknya sekitar kira-kira 200 meter.
“Kita juga menasihati ibu bapa atau penjaga agar lebih berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Kanak-kanak Maut Didera: Polis Kesan Cucuh Api Di Bahagian Badan
Polis mengesahkan terdapat kecederaan baharu dan lama di seluruh badan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia semalam, dipercayai akibat didera.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, 4, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.
“Saya baharu keluar daripada bilik mayat bagi melihat secara ringkas keadaan jenazah dan ia memang amat mendukacitakan.
“Hampir seluruh badan mangsa, dari kepala sampai ke kaki terdapat kecederaan. Kesan-kesan cedera ini mungkin dipukul dan terdapat juga kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan termasuk kemaluan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, kanak-kanak malang itu mula dijaga kakak kandungnya yang juga anak ketiga dan anak perempuan sulung daripada 11 beradik, sejak September lalu.
Ia berikutan, kedua ibu bapa dua beradik itu dimasukkan ke dalam penjara akibat terbabit dalam kes pengagihan dan pengedaran dadah.
Katanya, pada awalnya, hak penjagaan diberikan kepada datuk saudara mangsa, bagaimanapun datuk saudaranya tidak ditahan dengan mangsa yang dikatakan kerap menangis.
“Mangsa pada awalnya dijaga oleh ibunya, tetapi disebabkan wanita itu terbabit dalam kes pengedaran dadah dan ditahan pihak polis serta dimasukkan ke dalam penjara, begitu juga dengan bapanya. Maka, anak ini pada mulanya dijaga oleh datuk saudaranya selepas diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Datuk saudara mangsa tidak tahan kerana mangsa selalu menangis, mungkin kerana sakit yang mana apa kita dapati, kanak-kanak ini lahir pramatang dan berdasarkan laporan perubatan, paru-parunya tidak berapa matang menyebabkan dia kurang sihat.
“Datuk saudara mangsa menyerahkan semula kanak-kanak ini kepada JKM dan sepanjang jagaan JKM, keadaannya baik dan selamat sebelum diserahkan semula kepada ibunya yang ketika itu sudah dilepaskan.
“Bagaimanapun, pada September lalu, ibunya sekali lagi ditahan polis dan hak penjagaan sementara diberikan kepada kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan sudah berkahwin dan suaminya berusia 37 tahun,” jelasnya.
Kamarul Zaman berkata, polis menahan suami isteri yang tiada pekerjaan tetap itu bersama tiga lagi rakan kakak mangsa yang semuanya berusia 15 hingga 37 tahun bagi siasatan lanjut.
“Semua suspek ini didapati negatif dadah dan hasil semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut beliau, punca kematian masih dalam siasatan memandangkan bedah siasat masih dijalankan ke atas mayat mangsa.
Katanya, jenazah anak bongsu itu akan diserahkan kepada waris yang disahkan JKM untuk urusan pengebumian yang dijangka dilaksanakan di Labis, Segamat.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak polis akan membuat siasatan dengan teliti dan memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Sumber: KMN