KOTA KINABALU – Laluan utama Jalan Kota Kinabalu – Sandakan atau Jalan Riverside di Kilometer 109.378 Ranau, ditutup serta-merta untuk semua kenderaan malam tadi.
Ia berikutan hujan yang berterusan hingga mengakibatkan kegagalan pembentung dan jalan terputus yang membahayakan laluan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, ratusan kenderaan turut terkandas, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau dalam kenyataan berkata, sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif termasuk melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (hanya untuk kenderaan kecil).
“Mohon patuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku.
“Segala kesulitan amat dikesali dan diharap bersabar untuk keselesaan bersama dimasa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, ketika banyak panggilan mengenai kejadian tanah runtuh dan pihaknya kini dalam tindakan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan di Kilometer 179.308 ditutup serta-merta akibat banjir.
Kenyataan itu memberitahu Jalan Marakau-Kinapulidan-Kigiuk, dan Jalan Libang-Marakau juga ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Kituntul Lama ditutup kerana tanah runtuh.
“Hujan berterusan lebih tiga jam menyebabkan beberapa kawasan kampung di daerah ini dinaiki air iaitu Kampung Libang, Kituntul dan Marakau.
“Susulan itu, hingga 8 pagi ini seramai 45 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang dibuka pada 12.45 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu.
Baca Juga: Punca Feri Terkandas Selama 5 Jam, Ini Sebabnya…
Feri Bahagia 98 membawa 547 penumpang yang terkandas di muara Kuala Kedah pada petang Ahad dipercayai akibat kapten feri berkenaan cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang memasuki laluan ketika itu.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata bahawa hasil siasatan mendapati ketika kejadian tersebut, paras air laut di alur pelayaran Kuala Kedah menunjukkan paras selamat untuk pelayaran, iaitu 1.7 meter.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal turut mendapati feri terbabit bergerak dari Terminal Feri Penumpang Kuah sebelum terkandas di beting pasir pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.
Selain itu, Baharin berkata bahawa feri yang terkandas berkenaan diberikan bantuan segera oleh bot nelayan yang berjaya merapati feri bagi memindahkan sebahagian penumpang terutama warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.
“Seramai 272 penumpang berjaya dibawa secara berperingkat oleh bot Perkasa 1224 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Terminal Feri Kuala Kedah,” katanya.
Menurutnya, setelah lebih lima jam terkandas sehingga air mulai pasang, feri tersebut kemudiannya ditunda ke jeti dengan dua buah bot tunda sambil membawa lebihan penumpang lain.
Di samping itu, sebaik terkandas Kapten Feri menghubungi Jabatan Laut Malaysia (JLM), Pejabat Laut Kuala Kedah bagi mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Pada hari Ahad yang lalu, feri yang telah membawa 547 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Kedah terkandas di muara Kuala Kedah akibat air laut surut.
Bagaimanapun, jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah berjalan seperti biasa dan tidak menjejaskan operasi.
Susulan itu, terdapat lima trip perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi berjalan mengikut jadual bermula JAM 9.30 pagi, 11 pagi, 1 tengah hari, 2 petang dan 3 petang.
Manakala jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah pula bermula pada JAM 8 pagi, 10 pagi, 11 pagi, 12 tengah hari dan 1 tengah hari.
Sumber: KMN