Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 15 minit apabila kepalanya tersepit pada kerusi di sebuah tadika di Sekinchan di sini, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kejadian jam 11.37 pagi itu melibatkan mangsa berusia enam tahun ketika sesi pembelajaran di tadika tersebut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada pihak tadika pada jam 11.42 pagi.
“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Norazam berkata, sejurus tiba di lokasi, pasukannya mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu masih tersepit pada kerusi tersebut.
Ujar beliau, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa dalam tempoh lima minit.
“Operasi berjalan lancar dan tamat sepenuhnya jam 11.54 pagi dan kita dapati murid itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pengurusan tadika bagi urusan lanjut,” ujarnya.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Kanak-Kanak 6 Tahun Tertidur Dalam Kereta Berkunci Berjaya Diselamatkan
Tindakan pantas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terkunci di dalam sebuah kereta di Jalan Sultanah, Taman Uda Alor Setar, dekat sini pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua minit membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan mangsa berusia enam tahun itu.
Menurutnya, seorang pegawai dan tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan Kecemasan.

“PGO menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kanak-kanak terkunci di dalam kereta Perodua Alza pada jam 6.08 petang.
“Mangsa seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur di dalam kereta berkenaan dan anggota BBP Alor Setar berjaya membuka pintu kereta dan mengeluarkan mangsa berkenaan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Naufal berkata, Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.28 petang.
Sumber : KMN