Bayi 2 Bulan Meninggal Lepas Diberi Minuman Campuran Herba | Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui seorang wanita ini apabila terpaksa menerima hakikat bayi kesayangannya ‘pergi’ buat selama-lamanya disebabkan kecuaian keluarganya sendiri.
Menurut sumber, anak kecil yang baru berusia 54 hari itu disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dan jangkitan paru-paru.
Bercerita dengan lebih lanjut, Puan Aya akui sangat terkilan dengan sikap keluarganya yang sesuka hati memberi anak kecil itu minum air ramuan herba campuran daun kacang botol serta kencur.
Meskipun Puan Aya sudah melarang dan memberitahu ramuan tersebut tidak sesuai untuk bayi, tetapi keluarga tidak mengendahkan malah tetap memberikannya kepada si kecil.
Namun siapa sangka, kesan daripada ramuan herba tersebut, si kecil mula sesak nafas dan menghidap jangkitan paru-paru.
Si ibu yang panik melihat keadaan anaknya bergegas mahu membawanya ke pusat rawatan namun lain pula yang jadinya apabila dihalang oleh keluarga.
Mereka berpendapat penyakit tersebut boleh diubati dengan minuman tradisional sahaja.
Akan tetapi, Puan Aya tetap bertegas mahu membawa anak kesayangannya itu ke hospital namun malangnya, sudah terlambat dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Indonesia.
Sumber: Oh Bulan
Artikel Lain
Bayi Lelaki Berusia Empat Bulan Koma Akibat Didera Pengasuh
Seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok di sini, pada Rabu lalu.
Bayi tersebut yang mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.
“Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini pada Selasa.
Susulan laporan itu kata Rohaimi, pihaknya telah memanggil pengasuh pusat jagaan terbabit untuk membantu siasatan, namun menafikan berlakunya penderaan selain memberikan keterangan meragukan.
Bagaimanapun katanya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah memukul bahagian kepala mangsa dengan tangan, menghempas dan menggoncang tubuh mangsa.
Jelas beliau, mangsa baru sahaja didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian berlaku.
“Susulan itu, polis telah menyerbu pusat jagaan kanak-kanak itu dan menahan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh pada Isnin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya
Sumber : Astro Awani
Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah Dera Bayi 4 Bulan Hingga Koma
Pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh tuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.
Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga tujuh, wanita itu didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taska di daerah ini antara 1 hingga 3 Januari lalu dan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh di Taska di daerah ini.
Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.
Sumber : HM