Berpantang maut sebelum ajal – itu berlaku kepada dua pemancing apabila berjaya berenang ke pantai selepas bot mereka karam dipukul ombak di perairan Pulau Tioman, dekat Rompin, di sini.

Kedua-dua mangsa, Chia Swee Kwong, 49 dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui orang awam dalam keadaan lemah di pantai Teluk Juara, dekat Pulau Tioman, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan selepas Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Balai Polis Rompin memaklumkan mengenai penemuan kedua-dua mangsa itu.

“Kehilangan dilaporkan oleh majikan mereka sebaik mendapati mangsa tidak pulang selepas keluar memancing pada Isnin lalu.

Mangsa yang dikhuatiri hilang ditemui selamat oleh orang awam. - Foto Maritim Malaysia

“Usaha menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit kedua-dua pemancing itu gagal dihubungi,” katanya melalui kenyataan, kelmarin.

Kamal Ariffin berkata, mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkannya karam.

“Kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berjaya berenang menuju daratan berdekatan,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada di laut dengan mematuhi undang-undang terutama sentiasa memakai jaket keselamatan.

Ia mengambil kira musim tengkujuh yang masih belum berakhir dengan laut bergelora dan angin kuat.

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Memancing

Selepas kejadian lemas remaja berusia 19 tahun di Sungai Pahang berdekatan Kampung Batu Bor, Bera empat hari lalu, kini seorang lagi lelaki dikhuatiri ditimpa nasib sama ketika memancing di Jambatan Mempatih, Lanchang.

Mangsa, Muhammad Ikhram, 23, dilaporkan memancing bersama rakannya sebelum terjatuh dari tebing pada pukul 9.57 malam tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis pada pukul 10.56 malam tentang kejadian ini.

Beliau berkata seramai lapan orang pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki dua jentera.

Beliau juga berkata dalam kenyataan hari ini, maklumat awal saksi memberitahu terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa.

Menurut Ismail, pasukan bomba kemudiannya bertindak memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan pagi ini.

Jelasnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin sudah dimaklumkan bagi membantu operasi bermula pukul 8 pagi ini dan sehingga kini mangsa masih belum ditemukan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply