WALAUPUN berat untuk mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak profesional, Safee Sali, 39, tidak pernah rasa kesal dengan keputusannya kerana sudah mencurahkan segala keringat kepada Malaysia.
Bagaimanapun, hero Harimau Malaya ketika menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 meninggalkan pesan kepada pemain masa kini supaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Untuk Harimau Malaya saya sudah lakukan sehabis baik dengan mewakili negara di Pestabola Merdeka, Piala Asia dan memenangi Piala AFF. Saya lakukan sehabis baik saya mampu untuk menaikkan ranking Malaysia, jadi tiada lagi penyesalan dalam diri saya.
“Masa latihan percubaan dengan Cardiff City dulu (2011), jurulatih mereka mahukan saya tetapi ranking kita tidak lepas. Jadi, saya harap siapa pun main dengan skuad kebangsaan selepas ini, bantulah pasukan baiki ranking,” katanya pada Majlis Pengumuman Persaraannya semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail.
Mengulas lanjut tentang persaraannya, Safee akui keputusan itu adalah tepat kerana fizikalnya tidak lagi mampu bersaing dengan pemain masa kini dan ia dibuat untuk mengelakkan timbul beban kepada mana-mana pasukan diwakilinya.
“Walaupun saya tidak ada kecederaan serius, tetapi saya tidak mampu bersaing secara kompetitif dengan pemain lain dan sekarang adalah masa terbaik untuk umum persaraan. Berat apabila rakan sepasukan mahu saya bermain dalam kesebelasan, namun saya tidak mampu dan semua itu buatkan saya tidak bermotivasi serta tertekan.
“Memang sedikit emosi sebab sudah hampir 20 tahun saya dalam bola sepak, semua jatuh bangun saya sudah lalui sejak mula beraksi pada usia 19 tahun. Saya sudah boleh terima hakikat perlu beralih ke episod baharu kehidupan,” katanya.
Baca Juga: Sering Dipersoal, TMJ Senarai 10 Sumbangan Kepada Bola Sepak Negara
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar mana-mana pihak memberi satu nama yang sudah memberi sumbangan yang lebih daripadanya kepada skuad bola sepak kebangsaan dan arena bola sepak tanah air.
Cabaran itu disuarakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) di laman Instagram milik beliau semalam selepas ramai mempersoalkan sumbangan beliau dan JDT kepada pasukan kebangsaan dan bola sepak tanah air.
Malah, banyak pihak juga masih mempersoalkan tindakan beliau mempertahankan keputusan 14 pemain JDT yang menolak panggilan skuad Harimau Malaya menyertai saingan Piala AFF.
Sehubungan itu, Tunku Ismail menyenaraikan 10 sumbangan beliau dan JDT kepada bola sepak negara:
1. JDT menyumbang 16 mata AFC MA Ranking – lebih slot kepada pasukan-pasukan Liga Super ke peringkat Asia.
2. Membantu Malaysia mengutip 32.07 mata ranking FIFA – kedudukan 154 ke 146.
3. JDT meminjamkan pusat latihan kepada skuad kebangsaan dan meminjamkan Stadium Larkin dan Pasir Gudang untuk tujuan latihan dan perlawanan persahabatan pada tahun 2021.
4. Menaja RM1.4 juta – menanam rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula Mac 2023.
5. Meminjamkan kanvas stadium untuk menjaga kualiti SNBJ sebelum perlawanan-perlawanan penting pasukan kebangsaan.
6. Memberi sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan pada 2017.
7. Merombak dan mengecilkan saiz pentadbiran FAM untuk menjaga kewangan FAM.
8. Mengurangkan saman MP Silva terhadap FAM dari RM6.5 juta ke RM1.4 juta dan membayar RM1.4 juta menggunakan duit sendiri untuk menyelesaikan kes saman FAM itu.
9. Membelanjakan RM12 juta duit sendiri untuk melupuskan hutang-hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi FAM.
10. Menghantar jurulatih skuad kebangsaan ke Sepanyol untuk perkongsian profesional.
“Sekarang saya cabar/challenge mana-mana pihak atau individu untuk memberi satu nama sesiapa yang telah memberi sumbangan yang lebih daripada saya kepada pasukan kebangsaan dan bola sepak tanah air. Termasuk pemimpin kelab-kelab anda,” tulisnya.
Sumber : KMN