Lelaki Pecah Cermin Rumah Bekas Isteri Positif Dadah | IPOH – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah rumah hingga rakaman video tular di media sosial pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang wanita melibatkan kejadian di Taman Pinji Indah di sini pada Selasa.
“Siasatan mendapati suspek yang melakukan perbuatan pencerobohan jenayah dan khianat itu merupakan bekas suami kepada mangsa.
“Bertindak dengan maklumat itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 46 tahun itu di Taman Ipoh di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Reman terhadap suspek akan dilakukan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 477 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek, kes berkenaan telah dianggap selesai dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu sehingga menjejaskan siasatan serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca Juga: Kes Lelaki Serang Imam Ketika Solat Subuh, Suspek Positif Dadah
Lelaki yang menyerang seorang imam ketika solat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, pada 26 Mac lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan, esok.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata suspek akan didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekecohan ketika solat di masjid.
Katanya, lelaki berusia 37 tahun itu kini dalam pengawasan di unit psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek sudah lama berada di kawasan terbabit dan ketika kejadian ia menjadi agresif.
“Ia berkemungkinan dipercayai pengaruh dadah kerana ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek mendakwa bertindak demikian kerana mendengar imam yang mengimamkan solat ketika membaca surah ada menyebut namanya,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata demikian selepas majlis taklimat Operasi Bersepadu Pembersihan Gelandangan dan Pengemis serta Orang Kurang Siuman di sekitar zon Kuantan, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, suspek juga akan dikenakan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan, suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.18 pagi itu, suspek yang berpakaian baju Melayu warna ungu dan berkain pelikat serta berseluar hitam menyerang mangsa dari belakang.
Mangsa, Ilhan Muhammad Irham, adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 masjid berkenaan.
Ketika masuk rakaat kedua, terdengar suara lelaki menjerit dari arah pintu masjid.
Lelaki itu kemudiannya menolak jemaah dan menerpa ke arah imam serta memukul imam dengan selipar.
Sumber: KMN