Seorang Lelaki Meninggal Dunia Kereta Kena Rempuh Dengan Lori Ais | KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori muatan ais di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Rabu.

kereta kena rempuh

Lori Hilang Kawalan Dan Langgar Tiang Lampu

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 3 petang itu melibatkan lori jenis Hino tiga tan dengan kereta Perodua Kancil.

“Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Batu Pahat menghala ke Mersing, manakala kereta itu dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu cuba mengelak sebuah kereta sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di tengah jalan kemudian masuk laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil.

Mangsa Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian

“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Maznizam Mohd Amin, 51, mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohamad Amirul Rameli, 27, mengalami patah kaki kiri dan masih menerima rawatan zon kuning di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Jusoh Mohd Salleh berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

“Pemandu kereta tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengeluarkannya dengan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Pemandu lori pula diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital. Operasi tamat pada jam 3.34 petang,” katanya.

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Lelaki Bawa Motosikal Maut Dilanggar Kereta Dan Lori Serentak

Lelaki Bawa Motosikal Maut Dilanggar Kereta Dan Lori Serentak | GOMBAK – Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 13, Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2) menghala ke Ampang, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian pukul 9.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

Kereta dari kanan tukar lorong

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun berada lorong tengah dari arah Batu Caves menghala Ampang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, telah datang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berusia 48 tahun dari lorong paling kanan.

“Pemandu tersebut dipercayai telah mengubah laluan masuk ke lorong tengah dan telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Ariffin, akibat daripada kemalangan itu, mangsa telah terseret bersama motosikalnya ke lorong kiri dan telah dilanggar oleh sebuah lori.

“Lori tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ketika berada di lorong kiri jalan,” ujarnya.

Meninggal dunia tempat kejadian

Ariffin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang.

“Pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply