(Ada Video) Tular Saga FLX Dipandu Secara Melulu, Pemandu Ditahan | IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dikesan memandu secara berbahaya di Kilometer 17, Jalan Beruas-Parit-Ipoh dekat Pekan Parit selepas video kejadian itu tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman video itu dikesan pada pukul 9.35 malam memaparkan sebuah kereta Proton Saga FLX dipandu secara melulu hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Katanya, berdasarkan rakaman itu, kenderaan berkenaan dilihat memotong barisan dan garisan berkembar.

“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berjaya mengesan pemandu kereta jenis Proton Saga FLX itu yang beralamat di Pusing, Batu Gajah.

“Semasa tangkapan dilakukan, lelaki terbabit mengaku memandu kenderaan tersebut pada pukul 3.40 petang, semalam, seperti mana rakaman tular,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek ditahan dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

“Lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan lanjut. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER : Utusan

Share.

Leave A Reply