KUANTAN – Mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Teluk Chempedak di sini, semalam begitu teruja untuk menjadi wali kepada kakaknya yang akan melangsungkan perkahwinan pada 26 Februari ini.
Kakak mangsa Saidatul Aina Ahmad, 23, berkata, adiknya Muhamad Ikhmal Hakim,19, merupakan satu-satunya anak lelaki yang layak menjadi wali selepas kematian bapanya.
Katanya, Muhammad Ikhmal Hakim telah beberapa kali membuat latihan untuk menjadi wali dengan menghafal lafaz akad dan nama penuhnya sebelum ini.
“Sejak dapat tahu dia akan jadi wali saya, dia teruja dan telah beberapa kali membuat latihan sama ada di rumah atau di tempat kerja.
“Ini kali pertama dia akan jadi wali selepas ayah meninggal pada 2012,” katanya di sini, hari ini.
Semalam kegembiraan tiga sahabat mandi manda di Pantai Teluk Chempedak sempena meraikan temu duga bekerja di tempat baharu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka hilang selepas dipukul ombak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, difahamkan mangsa ditarik ombak kuat sebelum hilang manakala dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Ditanya mengenai sikap mangsa sebelum kejadian, Saidatul Aina berkata, tiada perkara pelik yang ditunjukkan adiknya itu sebelum ini, cuma sejak kebelakangan ini mangsa sering mengajaknya untuk ke pantai.
“Sejak tahun ini tidak tahu kenapa dia suka ajak pergi pantai. Katanya tenang sahaja bila pergi ke pantai.
“Baru-baru ini saya dan dia ada pergi ke Pantai Batu Hitam, tetapi kami tidak mandi, kami sekadar duduk tepi pantai dan makan sambil berborak,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dimulakan petang semalam diteruskan lagi hari ini.
Mangsa merupakan penduduk tempatan di daerah ini dengan alamat terakhirnya di Galing di sini.
Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa, Amirul Izat Zainal Abidin 19, melaporkan mangsa disyaki lemas ketika mandi di Teluk Tongkang di Pantai Teluk Chempedak.
Menurutnya, sejurus itu, sepasukan anggota termasuk pegawai polis dari Balai Polis Kuantan bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Menurut Amirul Izat, mangsa dan seorang lagi rakannya Fadhli Simon, 20, mandi di kawasan berbatu lebih kurang 100 meter dari pantai Teluk Tongkang dan lokasi tersebut boleh dicapai hanya dengan berjalan kaki semasa air surut kerana paras air ketika itu hanya di paras pinggang.
“Namun begitu, ketika sedang mandi air laut mula pasang dan laluan untuk balik ke tepi pantai mula dinaiki air laut dengan arus yang deras serta ombak tinggi. Mangsa dan rakan-rakannya cuba berenang dari kawasan batu tempat mereka mandi ke pantai namun ketiga-tiga mereka telah dihanyutkan arus.
“Bagaimanapun dua rakan mangsa, Amirul Izat dan Fadhli berjaya sampai ke tepi pantai manakala mangsa malangnya dihanyutkan arus dan terus tenggelam. Mangsa dan rakan tidak dapat membantu mangsa kerana turut hampir lemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“Sehingga setakat ini mangsa masih belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk awal yang diperoleh. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan sudah diarahkan ke Teluk Chempedak bagi misi mencari dan menyelamat tersebut,” katanya.
Sumber: Kosmo