Akibat menumbuk muka abang kandung sehingga lebam kerana enggan memberikan RM400 kepadanya untuk membaiki motosikal, seorang penulis blog dihukum penjara 14 hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Akibat Tumbuk Muka Abang Sendiri, Penulis Blog Dipenjara 14 Hari Denda RM 2,500

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zailan Yunus, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zaidi Yunus, 56, di sebuah rumah di Jalan 23 Selayang Baru, Gombak di sini pada 1.30 tengah hari 18 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Februari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mohd Zailan dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan mangsa serta rekod jenayah tertuduh pada 2020, juga membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323.

Peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply