Anak Cekik, Tetak Ibu Hingga Maut Akibat ‘Larang’ Beli Dadah | Seorang lelaki tergamak mencekik dan menetak ibunya dengan menggunakan sebilah parang sehingga maut di kediaman mereka yang terletak di Kampung Pesagi, Chenor, Pahang.
Dalam kejadian itu, lelaki yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik itu dikatakan baru sahaja keluar dari penjara atas kesalahan dadah. Namun apa yang lebih menyedihkan lagi, apabila mengetahui suspek dipercayai sudah merancang pembunuhan tersebut terlebih dahulu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 1.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mariani Ismail, 55, maut dengan mayatnya yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah selain terdapat kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanan.
Memetik laporan Kosmo, sebelum kejadian, mangsa sempat menasihati suspek agar tidak membeli dadah , lebih-lebih lagi selepas permohonan lelaki itu untuk mengeluarkan duit i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diluluskan.
Mangsa yang dikatakan tinggal bersama suspek dan cucu lelakinya yang berusia 10 tahun sedang tidur namun secara tiba-tiba suspek datang menyerang sebelum bertindak mencekik lehernya. Dalam pada itu, kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri dan berlari ke rumah salah seorang anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan.
Sebaik sahaja mengetahui insiden itu, anak perempuan mangsa bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu tetapi sayangnya dia tidak berani untuk masuk ke dalam rumah tersebut selepas melihat suspek berdiri di tepi pintu sambil memegang sebilah parang.
Dia kemudian menghubungi adik beradik yang lain untuk memaklumkan tentang kejadian. Sementara itu, anak lelaki mangsa iaitu Firdaus Ahmadiah bergegas ke rumah ibunya selepas dimaklumkan tentang insiden tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan lagi, suspek dilihat masih tenang dan bagaikan tiada perasaan apabila memberitahu tindakannya itu adalah suruhan daripada ibunya sendiri.
Susulan dari insiden itu, suspek yang berusia 39 tahun telah ditahan oleh pihak polis dan telah direman sehingga 5 Mei ini. Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku telah menggunakan parang menetak mangsa setelah berhalusinasi mendengar bisikan suara halus yang menyuruh dia berbuat demikian.
Hasil siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah pada Mac lalu. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan, kes ini akan disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan.