Bangkai Buaya Seberat 600kg Ditemui Di Sungai Trong,Taiping. | IPOH: Bangkai seekor buaya jantan sepanjang empat meter yang dianggarkan seberat 600 kilogram ditemui di Sungai Trong, Taiping pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bangkai itu pagi semalam.
Beliau berkata reptilia itu dianggarkan telah mati dua atau tiga hari lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, buaya itu dipercayai mati kerana usianya yang sudah tua kerana semua giginya hilang atau telah gugur,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, doktor haiwan jabatan itu akan menjalankan pemeriksaan bedah siasat bagi menentukan punca kematian, dan bangkai itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai untuk tindakan lanjut.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan kepada jabatan berkenaan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan hidupan liar dan tidak bertindak sendiri kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka. – BERNAMA
Sumber: New Straits Times