Banjir: Dua Lemas, Seorang Hilang Dibawa Arus Di Beluran | Banjir di daerah ini dikhabarkan telah mengorbankan dua nyawa akibat lemas dan seorang lagi masih dilaporkan hilang setakat ini, baru-baru ini.

Banjir: Dua Lemas, Seorang Hilang Dibawa Arus

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan berasingan membabitkan mangsa lemas dan hilang.

Katanya, kes terbaharu diterima membabitkan seorang lelaki warga emas maut selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Liningkung di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga petani berusia 60 tahun dikatakan cuba menyeberang sungai terbabit untuk menuju ke rumahnya yang dilanda banjir.

Mangsa kemudian ditemui kira-kira jam 2 petang oleh penduduk kampung tidak jauh dari tempatnya hanyut dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menerusi laporan Sinar Harian, mangsa telah dibawa terus ke Klinik Kesihatan Telupid namun disahkan meninggal dunia sebelum dilaporkan kepada pihak polis di Balai Polis Telupid untuk tindakan selanjutnya.

Kasim berkata, pada Jumaat lepas pihaknya turut menerima dua laporan berasingan membabitkan dua mangsa hilang berikutan keadaan hujan lebat yang berlaku di daerah ini.

Mangsa pertama yang dikenali sebagai Rajis Nawang, 28, yang juga nelayan dikatakan pergi memukat di Kuala Penubukan, Paitan, sebelum disedari hilang oleh bapanya.

Mangsa kedua pula dikenali sebagai Kaerul, 26, iaitu seorang pekerja ladang dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan.

Ketika kejadian tersebut berlaku, dipercayai air mencecah kira-kira 1.5 meter dari paras jalan. Kehilangan mangsa disedari oleh majikan sebelum laporan polis dibuat.

Kasim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan pada hari yang sama di kedua-dua lokasi yang dilaporkan berlaku kejadian.

Difahamkan, operasi di dua kawasan berlainan itu membabitkan agensi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Banjir: Dua Lemas, Seorang Hilang Dibawa Arus

Mangsa pertama akhirnya ditemui pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu di kawasan pokok bakau iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian dan mangsa kedua sehingga kini masih belum ditemui.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply