Bayi berusia 15 bulan, Mohamad Putera Zafran Mohd Ashwadi, yang disahkan mangsa korban pertama banjir di Kelantan dikatakan sangat takut dengan air.
Perkara itu dimaklumkan neneknya, Siti Khadijah Abdullah, 52, yang turut mengesahkan Zafran tidak pernah sesekali pun cuba untuk turun dari rumah selepas kediaman mereka di Kampung Gual Tok Deh, di sini, dinaiki banjir sejak hampir dua minggu.
“Biasanya, cucu saya memang takut dengan air dan tidak pernah sesekali cuba untuk turun dari rumah selepas kediaman kami dinaiki banjir hampir dua minggu.
“Saya reda, mungkin sudah sampai masanya saya kehilangan cucu yang sangat aktif dan petah berkata-kata itu,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, mangsa dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya pagi tadi sebelum dilaporkan terjatuh. Bagaimanapun, kejadian mangsa terjatuh itu tidak disedari kakaknya.
Dalam pada itu, Siti Khadijah mengakui hati luluh melihat jasad cucunya itu kaku tidak bernyawa selepas ditemui berdekatan tangga rumah.
“Ketika kejadian saya dan anak (ibu mangsa, Noriza Che Jusoh, 34) sedang mengemas di bahagian dapur sebelum mendapati Zafran hilang, lalu berusaha mencarinya di seluruh bahagian rumah.
“Kami mula tidak sedap hati sebelum anak bongsu lelaki terus menyelam beberapa kali dan menemui cucu saya itu yang sudah kaku berdekatan tangga rumah.
“Kami cuba sedaya upaya untuk menyedarkannya, namun tidak berjaya,” katanya.
Siti Khadijah berkata, cucunya dibawa menaiki lori bomba ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan jika semuanya selesai, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh, di sini.
“Saya masih terkejut dan sedih, tambahan pula menantu (bapa mangsa) bekerja jauh di Australia dan hanya dimaklumkan kejadian itu melalui telefon,” katanya.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu, selepas ditemukan lemas di halaman rumah keluarganya di Kampung Apal, Besut.
Mangsa dipercayai terjatuh kira-kira jam 3 petang, sebelum ditemui tidak bernyawa oleh penduduk kampung pada jarak 20 meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata kejadian disedari ibu saudara mangsa ketika bersiap untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Sumber :BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Batang Kali: Bayi Usia Setahun Antara 21 Mangsa Runtuhan Sudah Dikenal Pasti
Bayi lelaki berusia setahun, Wong Zi Hang, antara mangsa termuda yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, proses bedah siasat kesemua 24 mayat sudah selesai dijalankan.
Jelasnya, proses mengenalpasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi tiga kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, dan pengecaman pihak waris pada wajah atau barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.
Menurutnya, tiga daripada 23 mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti melalui kaedah-kaedah ini.
Semalam, NADMA mengesahkan enam identiti yang terkorban dikenal pasti.
Daripada 21 mangsa yang dikenal pasti, 10 adalah wanita dewasa; empat (lelaki dewasa); empat (kanak-kanak lelaki), manakala tiga lagi adalah kanak-kanak perempuan.
Dalam pada itu, NADMA memaklumkan setakat 9 pagi hari ini, seramai lima daripada lapan mangsa yang dirawat sudah dibenarkan pulang.
Setakat ini, baki tiga mayat yang berada di Hospital Sungai Buloh sudah melalui proses pengecaman tetapi belum dituntut oleh keluarga.
Difahamkan waris mangsa dari Kampung Machap Umboo, Alor Gajah Melaka.
Berikut senarai 21 mangsa korban:
1. Lim Wei Xin, 36 (perempuan)
2. Hong Mei Jing, 38 (perempuan)
3. Nurul Azwani Kamaruzaman, 31 (perempuan)
4. Lai Lee Yin, 37 (perempuan)
5. Tong Kai En, 9 (lelaki)
6. Lai Lee Koon, 44 (perempuan)
7. Ka Kok Boon, 43 (lelaki)
8. Zech Loh Qi Yi, 7 (lelaki)
9. Eng Huai Yi, 12 (perempuan)
10. Eng Choon Wen, 43 (lelaki)
11. Ng Yee Tong, 11 (perempuan)
12. Ka Sin Ya Vanya, 6 (perempuan)
13. Lam Sook Man, 37 (perempuan)
14. Wong Kim Yap, 34 (lelaki)
15. Fong Choy Kee, 43 (perempuan)
16. Liu Pei Si, 44 (perempuan)
17. Daniel Khor Yen, 5 (lelaki)
18. Chin Su King, 36 (perempuan)
19. Lai Chee Sam, 33(lelaki)
20. Wong Zi Hang, 1 (lelaki)
21. Gain Choo Yin, 35 (perempuan)
Sumber: KMN