Bayi 2 Hari Terbvnuh Dalam Serangan Rusia | Oleksandr Starukh, gabenor wilayah Ukraine menyatakan bahawa bayi lelaki yang berusia 2 hari terbunuh selepas peluru berpandu Rusia menghentam sebuah hospital di selatan Ukraine.
Beliau berkata, tembakan artileri itu mengenai wad bersalin di bandar Vilniansk, Zaporizhzhia, pada awal pagi Rabu.
Beliau berkata lagi, pada waktu malam, Rusia melancarkan roket besar (ke arah) wad bersalin kecil hospital di Vilniansk.
Menerusi Telegram, Starukh berkata seperti dilaporkan portal Independent bahawa kedukaan memenuhi hati kami, seorang bayi yang baru muncul di dunia dibunuh.
Laporan berkenaan menyatakan bahawa ibu bayi yang baru lahir itu bagaimanapun diselamatkan dari runtuhan.
Starukh berkongsi beberapa siri imej kemusnahan melalui Kyiv Independent.
Gambar menunjukkan asap tebal di atas timbunan runtuhan yang dibersihkan oleh pekerja kecemasan.
Satu siri imej yang diedarkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Ukraine kemudian menunjukkan operasi dijalankan untuk menyelamatkan pekerja hospital dan pesakit.
Seorang doktor juga parah selepas wad di bangunan itu terkena peluru berpandu S-300.
Perkhidmatan Kecemasan pada mulanya berkata, seorang bayi terbunuh, dan seorang ibu serta seorang doktor dikeluarkan dari runtuhan, dan mereka adalah satu-satunya orang di wad pada masa itu.
Perkhidmatan itu menyatakan dalam catatan susulan di Telegram, wanita yang diselamatkan itu adalah ibu kepada bayi berkenaan.
Andriy Yermak, Ketua pejabat presiden Ukraine mengutuk serangan itu dalam siaran Telegram.
Merujuk kepada tentera Rusia sebagai “pengganas”, beliau berkata, Moscow akan bertanggungjawab.
Ia berlaku selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, ratusan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan Ukraine berada di ambang kerosakan kerana kekurangan bahan api, air dan elektrik.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Perang Rusia Ukraine. Ini Tindakan UK Yang Mengejutkan.
Perang Rusia Ukraine. Ini Tindakan UK Yang Mengejutkan. LONDON: Britain akan membiayai bekalan makanan penting bernilai 2 juta pound (RM10.95 juta), bagi kawasan Ukraine dikelilingi tentera Russia, susulan permintaan daripada Kerajaan Ukraine.
Lebih sebulan selepas Moscow menyerang Ukraine, tentera Russia gagal menawan mana-mana bandar utama Ukraine dan terpaksa menggunakan meriam dan serangan udara.
Paling teruk terjejas ialah pelabuhan timur Mariupol, bandar dengan 400,000 penduduk yang dikepung sejak awal perang.
Puluhan ribu orang dipercayai masih terperangkap tanpa makanan, bekalan elektrik atau pemanasan.
Britain berkata, kira-kira 25 lori makanan kering, barang dalam tin dan air akan diangkut melalui jalan raya dan kereta api dari gudang di Poland dan Slovakia ke bandar Ukraine yang paling berisiko.
Penasihat Kemanusiaan Pejabat Luar Britain, Alice Hooper dalam kenyataan berkata, keperluan di lapangan di Ukraine jelas dengan begitu ramai di kawasan terperangkap di ruang bawah tanah, tanpa makanan atau air.
“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi di sempadan untuk memastikan bekalan penting UK ini sampai ke tempat paling diperlukan, secepat mungkin.” – REUTERS
Sumber : Berita Harian
Rusia, Ukraine Setuju Laksana Gencatan Senjata Sehari, Ini Sebabnya..
Rusia, Ukraine Setuju Laksana Gencatan Senjata Sehari, Ini Sebabnya.. | Moscow dan Kiev hari ini bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama sehari di beberapa koridor pemindahan bagi membolehkan penduduk melarikan diri dari zon peperangan, kata Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk.
Vereshchuk berkata, Moscow berikrar untuk menghormati gencatan senjata dari pukul 9 pagi (waktu tempatan) hingga 9 malam (waktu tempatan) di kira-kira enam kawasan pertempuran termasuk wilayah-wilayah di sekitar Kiev, Zaporizhzhia di bahagian selatan dan beberapa bahagian timur laut Ukraine.
Orang awam di sekitar Kiev termasuk Irpin dan Bucha akan dipindahkan ke ibu negara Ukraine itu untuk mengelak daripada serangan bom tentera Rusia.
Menurut laporan, penduduk terpaksa berpindah dalam situasi tembakan dan pengeboman bagi menyelamatkan diri daripada terkena serangan.
Semalam, kira-kira 60 buah bas membawa dua konvoi berjaya memindahkan orang awam keluar dari bandar Sumy, 350 kilometer di timur Kiev.
Lebih 5,000 penduduk dipindahkan dari bandar itu, yang terletak berhampiran dengan sempadan Rusia dan terjejas teruk akibat pertempuran sengit.
Sumber : Kosmo