Negeri Johor kembali dilanda banjir susulan hujan lebat yang turun sejak semalam. Gara-gara banyak lokasi membabitkan kawasan perumahan telah dinaiki air, jumlah penduduk yang terperangkap juga semakin meningkat. Ada yang turut mulai bimbang seandainya peristiwa banjir besar 2006 bakal berulang.

Meskipun kerja-kerja penyelamat giat dilakukan, namun ramai kenalan individu yang terjejas banjir terpaksa menggunakan platform media sosial untuk mendapatkan bantuan. Menerusi Facebook, saudara Fahd Rahmat dedahkan anak buahnya yang baru berusia 3 bulan antara yang terperangkap bersama beberapa ahli keluarga lain Kampung Jawa Chaah, Segamat.

“Mohon bantuan, kami sekeluarga sudah berada di atas bumbung… bantuan tak dapat sampai ke rumah saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dikenali sebagai Azizah Bani terpaksa meminta bantuan warga maya kerana keluarganya sedang terperangkap di atas bumbung rumah. Walaupun sudah berjam-jam menanti, tetapi bantuan belum sampai lagi ke kawasan perumahannya juga di lokasi yang sama.

Sumber: Kisah Dunia

 

Baca Juga: Video Pegawai JKM Terperangkap Banjir. Ini Yang Terjadi Pada mereka.

Batu Pahat: “Kebiasaannya kami membantu mangsa namun pada kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam,” kata pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36.

Menceritakan pengalaman yang ditempuhi pada 12 tengah hari hari ini, Siti Nadiah berkata, ketika kejadian kereta dinaiki itu berada di kebun kelapa sawit di Kampung Haji Kamisan berhampiran pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan di Yong Peng.

Menurutnya, ketika merentasi kawasan itu menuju ke PPS berkenaan, air banjir semakin deras hingga Ford Everest hanyut ke tepi.

Katanya, pada awalnya air banjir hanya pada paras sederhana namun ia semakin tinggi hingga kepada paras berbahaya iaitu melebihi satu meter.

“Lebih sejam kami berdepan situasi getir dan saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak.

“Air menghampiri bumbung kereta dan ketika itu kami sudah bersiap sedia berpaut pada pokok kelapa sawit.

“Kami menghubungi pelbagai agensi dan rakan supaya membantu sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.

Siti Nadiah berkata, ketika kejadian dia bersama rakan sekerja, Herlinda Abd Majid, 42, dan pemandu kereta berusia 46 tahun.

“Selepas sejam, kami mendengar bunyi bot dan ketika itu kami menjerit meminta bantuan.

“Hanya tuhan saja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami,” katanya.

Siti Nadiah berkata, dalam kejadian berkenaan kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran sudah rosak.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan rakannya bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan.

“Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply