Seorang bayi perempuan berumur enam bulan maut ditetak datuk saudaranya dalam kejadian di Kampung Ubi Sungai Pauh semalam.

Bayi Enam Bulan Maut Ditetak Datuk Saudara, Ibu Cedera Parah

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, ibu bayi berkenaan yang berusia 35 tahun turut dilaporkan parah dengan kecederaan telinga sebelah kiri yang hampir putus.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bertugas mendapati bayi perempuan terbabit sudah meninggal dunia akibat ditetak di bahagian kepala manakala ibu bayi itu pula parah di bahagian belakang tengkuk selain telinga kiri hampir putus.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Kita kemudiannya berjaya mengesan dan menangkap suspek di kawasan kebun sawit di lokasi sama selain turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulbaharin memaklumkan suspek berusia 60 tahun warga Filipina dibawa ke IPD Kinabatangan untuk siasatan lanjut dan siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply