Bayi Lelaki Maut, Ibu Bertarung Nyawa Di ICU Akibat Covid-19 | Seperti yang kita sedia maklum, negara kita pada ketika ini sedang hebat berperang dengan penularan wabak Covid-19 hingga meragut banyak nyawa orang di sekeliling. Tambah lagi dengan jumlah kes yang semakin hari semakin meningkat dan membimbangkan rakyat di negara ini.

Bayi Lelaki Maut, Ibu Bertarung Nyawa Di ICU Akibat Covid-19

Kejadian baru-baru ini, seorang bayi lelaki maut akibat Covid-19 dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Taman Selaseh manakala ibunya sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), malam tadi.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi satu perkongsian yang meruntun hati di laman Twitter berkata, bapa bayi berusia 38 minggu itu bersama lapan lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Ya Allah. Sayu hati kami di keheningan malam tadi. Kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Taman Selaseh.

“Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga. InsyaAllah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” tulis pengendali akaun media sosial Jawi dalam hantaran tersebut hari ini.

Dalam pada itu, ramai pengguna di media sosial turut bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga tersebut dan berdoa agar urusan mereka dan barisan hadapan dipermudahkan dalam mengharungi detik mencabar musim pandemik.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan berada dalam lindungan Allah buat barisan hadapan semoga Allah membalas segala kebaikan dengan seberat-berat timbangan sebelah kanan dan kosongkan timbangan sebelah kiri,” komen pemilik akaun bernama Wardina Awatif.

“Teringat bayi sulung saya berusia 20 minggu dimandi, dikafankan, disolatkan petugas rumah mayat dan suami saya. Semoga Allah kuatkan hati ibu dan ayahnya. Semoga ibunya cepat sembuh dari Covid-19,” ucap Rabiatul ‘Adawiyah Ibrahim.

“Selamat jalan sayang. Semoga mama kamu dan seluruh ahli keluarga diberikan kesembuhan oleh Allah,” doa Munirah Rosli.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply