Seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan, ditemui ditinggalkan di tempat pembuangan sampah tepi Jalan Masjid berhadapan Bella Damansara, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya, pagi semalam.
Bayi berkenaan ditemui oleh seorang wanita bersama anak lelakinya, ketika melalui kawasan itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum bertindak membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bayi perempuan itu dijumpai dalam keadaan berbalut kain kuning, masih bertali pusat dan uri bersamanya.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan doktor, bayi dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan kemerahan di pipi sebelah kiri.
“Berat bayi adalah 2.5 kilogram dengan ketinggian 49 sentimeter dan bayi itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak HSB untuk rawatan dan pemerhatian,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata, usaha mengesan suspek yang membuang bayi itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk membantu siasatan.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Bayi Lelaki Baru Lahir Ditemui Di Bawah Pokok Dan Dihurung Kerengga
Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di atas kayu berhampiran pagar sebuah kilang makanan laut di Kampung Peramu di sini, kelmarin.
Bayi yang dipercayai baharu beberapa jam dilahirkan itu ditemui seorang wanita berusia 52 tahun kira-kira 12.10 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain beberapa gigitan serangga, bayi itu dilaporkan stabil dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian di wad kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afan (HTAA).
Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bayi baharu lahir yang masih hidup berhampiran kilang makanan laut itu.
“Seorang wanita berusia 52 tahun yang menemui bayi itu mendakwa mendengar suara tangisan bayi kira-kira jam 7.30 pagi, tetapi tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan tangisan dari rumah jirannya.
“Namun, pada 11.30 pagi, wanita itu masih mendengar suara tangisan dan mencari suara berkenaan sebelum menemui seorang bayi lelaki masih hidup berhampiran pagar kilang makanan laut.
“Bayi berkenaan diletakkan di atas kayu dan ketika ditemui bayi itu dalam keadaan berdarah serta masih mempunyai tali pusat.
“Terdapat kerengga menggigit badan bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, wanita berkenaan kemudian meminta bantuan rakannya yang bekerja di kilang makanan laut itu untuk memaklumkan kepada polis.
Wan Zahari berkata, bayi itu kemudian dibawa ke HTAA untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari kilang, namun ia tidak menghala ke lokasi bayi lelaki itu ditemui.
“Kami percaya bayi itu dilahirkan di tempat lain dan suspek cuba menyembunyikan kelahiran dengan membuangnya di tempat kejadian pada awal pagi.
“Doktor yang memeriksa bayi berkenaan menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum diselamatkan,” katanya.
Katanya, polis sedang mengumpul maklumat dengan mengunjungi klinik swasta di sini untuk mengesan suspek.
“Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 371 Kanun Keseksaan.
Sumber : KMN