SETIU – Mayat bekas imam yang terjatuh ke dalam kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam telah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku di sini dijumpai pada pukul 10.54 pagi.
Beliau berkata, mayat lelaki warga emas itu ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke Sungai Fikri yang bersambung dengan kolam udang terbabit.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai mayat mangsa tersangkut pada rimbunan pokok nipah yang terdapat di tebing sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Afandi berkata, mayat Zakaria telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Zakaria yang mengalami masalah pendengaran dikhuatiri terjatuh ke dalam kolam udang terbabit ketika sedang menjala ikan pada pukul 7 malam.
Insiden lelaki warga emas terbabit tergelincir dari tebing kolam udang terbabit disaksikan beberapa penduduk kampung sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Mayat Lelaki Warga Emas Ditemui Dalam Semak | Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di kawasan semak di Kampung Jumbang, Seri Menanti, pada petang semalam.
Superintenden Amran Mohd. Ghani, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah berkata, mayat itu ditemui oleh orang awam pada pukul 2.30 petang.
Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.
Beliau berkata bahawa setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah berkaitan penemuan tersebut, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti identiti mayat.
Beliau juga berkata dalam kenyataan hari ini bahawa bagaimanapun, kes ini dipercayai ada hubung kait dengan satu kes orang hilang melibatkan seorang lelaki berumur 67 tahun yang dilaporkan hilang sejak 22 November lepas di Kampung Sikai, Gunung Pasir, Seri Menanti.
Ujar Amran lagi, pihak keluarga lelaki itu akan dipanggil untuk membuat pengecaman mayat.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga memohon bantuan orang ramai untuk mencari salah seorang ahli keluarga mereka, Abu Zahrin A. Hassan, 67, yang hilang selepas keluar dari rumah sejak 22 November lalu.
Sumber: KMN