Berkat Doa Isteri. Dulu Penagih Tetapi Kini Usahawan Restoran Kaya. Allahu.| KHALIFAH MEDIA NETWORKS – Siapa cakap seorang penagih tidak boleh berubah dan berjaya? Ini adalah salah satu bukti yang mana dahulu dia adalah seorang penagih tetapi kini sudah menjadi tauke besar. mari kita ikuti kisah beliau.
“Jika tidak terjebak dengan ketagihan syabu dan ganja, pasti saya sudah bergelar jurutera sekarang,” kata Mohd Amirul Ashraf Haimid, 31, yang membazirkan lebih empat tahun hidupnya menagih dadah.
Menceritakan kisahnya, Mohd Amirul bersyukur mempunyai keluarga yang tidak berputus asa berusaha memulihkannya walaupun terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menghantarnya dua kali ke pusat pemulihan swasta.
Bebas sepenuhnya daripada ketagihan, dia kini yang mengusahakan perniagaan restoran tomyam di Ampangan di sini, tidak mahu lagi mengecewakan keluarganya termasuk isteri dan tiga anaknya yang berusia dua hingga empat tahun.
Malah, selain sibuk dengan perniagaan sendiri, Mohd Amirul aktif dalam program pencegahan dadah melalui Pertubuhan Pemulihan Kesan Sosial Malaysia (PKSM) Negeri Sembilan sebagai penceramah tetap dengan misi menyelamatkan anak muda daripada dadah.
“Saya bukan pelajar nakal ketika bersekolah, namun mula terpengaruh untuk mencuba dadah apabila menyertai kumpulan ‘mat rempit’ ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma kejuruteraan di sebuah kolej swasta ketika berusia 21 tahun.
“Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah. Setiap minggu saya paksa ibu beri RM100 hingga RM200 untuk beli dadah sedangkan kami bukan orang senang. Dia terpaksa beri kerana tidak mahu saya mencuri seterusnya ditangkap dan dicederakan.
“Tidak cukup dengan itu, saya berhenti belajar walaupun sebenarnya menjadi antara pelajar yang cemerlang ketika itu. Apabila mengingat kembali semua itu, saya berasa amat malu dan menyesal,” katanya yang pernah ditahan polis dua kali.
Katanya, pengaruh rakan-rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berhenti, namun semuanya berubah selepas dia keluar dari pusat pemulihan pada 2012.
Mohd Amirul berkata, dia berkenalan dengan seorang wanita berasal dari Kedah yang bekerja di sebuah pasar raya di sini, sebelum berkahwin dengannya pada 2013 dan menetap di kampung isterinya selama hampir setahun.
“Isteri dan keluarganya menerima saya seadanya walaupun hanya bekerja menjual sayur ketika tinggal di Kedah. Melihat perubahan diri, ayah menyuruh saya balik ke Seremban untuk mengusahakan warung di atas tanah milik sepupunya di Ampangan.
“Keluarga saya berkongsi wang untuk diberikan kepada saya sebagai modal membuka warung. Saya bermula dengan kecil, malah hanya membina dapur sahaja dengan tempat makan pula menggunakan payung.
“Walaupun mengalami kerugian pada peringkat awal, syukur perniagaan semakin maju dan saya mampu memperbesarkan perniagaan malah kini menggaji seramai 12 pekerja,” katanya.
Mohd Amirul berkata, penghayatan agama selain sokongan keluarga terutama melihat wajah anak dan isteri serta kedua-dua ibu bapanya, menguatkan semangatnya untuk tidak kembali menagih seterusnya memusnahkan hidupnya.
Sumber : Berita Harian