Bomba Tidak Temui Bayi Didakwa Terperangkap Dalam Kebakaran | Ketiadaan seorang bayi yang didakwa terperangkap dalam kebakaran di tingkat tiga, rumah kedai tiga tingkat di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi, Klang malam tadi, menjadi tanda tanya pihak bomba.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pada jam 8.37 malam tadi, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa bayinya terperangkap dalam kebakaran.
Katanya, Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kebakaran di tingkat tiga rumah kedai itu.
Menurut maklumat awal, pihak bomba dimaklumkan terdapat seorang bayi terperangkap dan pihak bomba menjalankan kerja mencari mangsa di lokasi kebakaran namun selepas pencarian dilakukan dengan bantuan anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiada tanda-tanda ada mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan operasi ditamatkan.
Hafisham berkata, sebaik sahaja pencarian selesai pihaknya cuba mendapatkan bapa bayi terbabit untuk mendapatkan maklumat namun gagal dihubungi.
Jelasnya, lelaki berkenaan tidak menjawab telefon ketika dihubungi dan dia juga tidak berada di lokasi ketika pencarian dilakukan.
Pihak bomba dimaklumkan rumah yang terbakar itu didiami tiga sekeluarga termasuk bayi terbabit dan sehingga kini tiada maklumat mengenai umur dan jantina bayi berkenaan.
Sumber: Metro